Neon Countdown 2018 tiada kelulusan MPPD

Sekitar program Neon Countdown yang berlangsung malam tadi.
Sekitar program Neon Countdown yang berlangsung malam tadi.
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kelulusan bagi penganjuran program Neon Countdown 2018 yang diadakan di Tasik Villa, malam tadi.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd Zamberi Mohd Esa, pihak MPPD hanya mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit bagi acara bunga api melalui permohonan yang dibuat, yang mana pihak penganjur juga telah diminta untuk mematuhi beberapa syarat.

"Antaranya ialah penganjur perlu mendapatkan kelulusan daripada PDRM untuk permit bunga api dan penganjuran program hendaklah mematuhi peraturan dan sah daripada segi undang-undang.

"MPPD juga tidak bertanggungjawab di atas segala kemalangan , kerugian, kecederaan atau kematian yang berlaku terhadap penganjur atau orang ramai yang mengunjungi program ini," katanya.

Tambahnya, berdasarkan aduan orang awam dan pemantauan pihak MPPD, pelaksanaan program tersebut adalah berbeza daripada permohonan yang telah dikemukakan oleh pihak penganjur kepada MPPD.

Katanya, terdapat keresahan orang awam yang dilaporkan mengenai aktiviti yang diadakan seperti meminum arak, pergaulan bebas dan lain-lain.

"Pihak MPPD telah mengenakan kompaun terhadap penganjur di atas kesalahan mengadakan program tanpa mendapat kelulusan lesen daripada pihak MPPD dan tindakan tegas juga boleh diambil jika didapati penganjuran program menyebabkan gangguan ketenteraman awam seperti bunyi bising dan kesesakan lalu lintas berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada yang berkuatkuasa," katanya.

Sehubungan dengan itu, mana-mana permohonan penganjuran sambutan tahun baharu atau hiburan terbuka akan dikaji dan diperhalusi secara tegas serta mendalam sebelum sebarang kelulusan dikeluarkan.

Artikel Berkaitan: