Belanjawan 2020: Tumpu projek infrastruktur, tingkat pendapatan

Rina merasmikan Karnival MyJeram 2019 di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di Bandar Puncak Alam di sini malam tadi.
Rina merasmikan Karnival MyJeram 2019 di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di Bandar Puncak Alam di sini malam tadi.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar berharap kerajaan akan memberi tumpuan bagi peruntukan projek infrastruktur dan peningkatan pendapatan penduduk dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tumpuan itu menjurus kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

"Kita ingin mewujudkan lebih banyak kemudahan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bina baharu, projek jalan perhubungan desa, baik pulih surau dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Karnival MyJeram 2019 di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Bandar Puncak Alam di sini malam tadi.

Rina berkata, semua projek itu mampu memberi impak secara langsung kepada masyarakat luar bandar.

Selain itu, katanya, tumpuan juga terarah kepada usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media sebelum ini memberitahu kerajaan merancang melaksanakan program khas bagi masyarakat luar bandar.

"Malah dalam mesyuarat Kabinet juga menyebut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyarankan peruntukan luar bandar ditingkatkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan keprihatinan baginda dan perdana menteri terhadap penduduk luar bandar yang sering kali dikaitkan dengan soal kemiskinan," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya menyasarkan seramai 40,000 hingga 45,000 pelatih lepasan GiatMara setiap tahun memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Katanya, kebolehpasaran dalam kalangan pelatih Giat Mara ketika ini berada pada tahap 80 peratus dan ingin dipertingkatkan kepada 85 peratus pada masa akan datang.

"Kita menggalakkan penglibatan kerjasama antara GiatMara dan industri bagi memastikan mereka ini mendapat pekerjaan setelah menamatkan latihan," katanya.