Guru tadika rugi RM20,000 diperdaya scammer

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru tadika di sini kerugian RM20,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar pegawai bank dan polis semalam.

Taktik lapuk suspek dengan helah tunggakan pinjaman bank dan akaun bank terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah terus ‘menjadi’ apabila mangsa akur dengan arahan sehingga menyerahkan wang berkenaan kononnya untuk proses siasatan dan mengelak berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai sebuah bank ketika berada di tempat kerjanya semalam.

Menurutnya, anggota sindiket penipuan yang menyamar itu memaklumkan berhubung tunggakan pinjaman bank berjumlah RM70,000 atas namanya yang perlu diselesaikan.

“Seperti biasa, selepas mangsa menafikan tentang pinjaman tersebut, suspek menyambungkan panggilan ke suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya bagi tujuan semakan sebelum diperangkap dengan helah akaun bank miliknya terlibat dengan kegiatan haram dan pengedaran dadah.

“Bagi tujuan siasatan dan membersihkan wang tersebut, mangsa diarah memindahkan semua wang dalam akaun banknya ke satu akaun lain dan dijanjikan semua wang itu dikembalikan semula selepas kesnya selesai," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur dengan arahan apabila memindahkan wangnya berjumlah RM20,000 ke akaun atas nama seorang lelaki, petang semalam.

“Selepas pemindahan wang dilakukan, mangsa mula curiga lalu memberitahu suaminya sebelum membuat laporan polis selepas sedar ditipu.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan”, katanya.