Muhyiddin tak wajar perlekeh Umno

Suraya
Suraya
A
A
A
PENDANG - Tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperlekeh imej Umno kononnya Melayu harus bersyukur kerana Umno tewas PRU14 dan tidak lagi berkuasa adalah tidak wajar.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, tindakan berkenaan sangat memalukan bagi seorang yang pernah diangkat Umno sebagai pemimpin utama parti dan kerajaan.

"Apakah beliau lupa pengerusi partinya yang memerintah selama 22 tahun itu juga datang dari platform yang sama iaitu Umno.

"Apakah beliau lupa bahawa pengerusi, presiden serta kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri berpuluh tahun memimpin kerajaan dan apakah mereka semua tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal, kontroversi dan krisis menggemparkan," soalnya.

Suraya berkata, perkara ini tidak perlu dipersoal olehnya kerana rakyat mampu menjadi saksi dan menilai sendiri sejarahnya.

"Mungkin benar dalam tempoh 61 tahun Umno mentadbir negara, kita menyaksikan ramai pemimpinnya yang dihumban ke penjara atas pelbagai salah laku termasuk membabitkan jenayah dan moral.

"Ia membuktikan Umno tidak maksum, namun tidak menghukum sebelum mahkamah memutuskan bersalah.

"Kami tetap cuba sedaya upaya memelihara maruah Umno yang terbukti cemerlang mentadbir negara," katanya.

Menurut Suraya, Muhyiddin tidak perlu tunjuk jaguh konon Melayu tidak hilang kuasa di negara ini hanya kerana jawatan Perdana Menteri diberikan kepada pengerusinya.
Artikel Berkaitan:


"Baru saja tujuh bulan, kami juga dapat melihat bagaimana kedudukan Islam, Melayu, Bumiputera dan perpaduan kaum di negara ini terancam.

"Kami dihidangkan timbunan dasar baru yang mengelirukan, membebankan rakyat dan pelbagai pusingan 'U' yang menyalahkan pihak media," katanya.

Tambah Suraya, mengenai hubungan Umno dan Pas, usahlah Muhyiddin gundah-gulana melihat lautan umat Melayu Islam bersatu.

"Atas nama demokrasi, Umno tidak pernah gentar hilang kuasa mahupun berada di kerusi pembangkang.

"Kami bukan manusia yang jenis bergaduh dengan 'bapa', tewas bergaduh, pindah keluar rumah lain dan runtuhkan rumah yang membesarkan kami.

"Kami akur rumah kami bukan lagi kerajaan, namun hikmah di sebaliknya terlalu besar untuk dirungkai sekarang," katanya.

Suraya berkata, demi negara, beliau berharap kerajaan PH kembali berperanan sebagai sebuah kerajaan sebenar.