Kereta api DMU beroperasi di laluan Pantai Timur tahun depan

Kedua-dua pasukan bergambar sebelum memulakan sepak mula.
Kedua-dua pasukan bergambar sebelum memulakan sepak mula.
A
A
A

TUMPAT - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menaik taraf gerabak daripada konvensional ke Diesel Multiple Units (DMU) untuk laluan Pantai Timur tahun depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata, 13 unit kereta api melibatkan 52 gerabak panjang menelan belanja sebanyak RM380 juta.

"Stesen dan juga landasan turut akan dinaik taraf supaya dapat menyokong operasi DMU yang dijangka beroperasi tahun depan.

"Sekarang kita masih dalam proses pandu uji melibatkan laluan dan enjin DMU. Pemandu juga perlu mempelajari beberapa aspek kemahiran baru untuk mengemudi DMU," katanya pada program perlawanan bola sepak persahabatan antara KTMB dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Depoh Tumpat di sini hari ini.

Perlawanan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan, Syed Nasir Syed Ahmad.

Menurutnya, DMU lebih bersifat moden dan dijangka dapat menjimatkan hampir sejam waktu perjalanan biasa mengikut jadual tertentu.

Beliau berkata, set kereta api baharu akan diuji dari semasa ke semasa dan dijangka boleh mencapai 100 kilometer per jam berbanding kereta api konvensional hanya melibatkan kelajuan 50 kilometer per jam sahaja.

"Untuk kereta api lama pula kita akan jadualkan operasinya mengikut keperluan semasa terutamanya untuk menjadikan ia sebagai pengangkutan sambil bercuti apabila DMU beroperasi sepenuhnya nanti.

Artikel Berkaitan:

"Banyak negara-negara maju yang jadikan gerabak lama ini sebagai kereta api untuk pelancongan. Perkara tersebut nanti kita akan bincang dari masa ke semasa," katanya.