Operator kilang didakwa bunuh bekas isteri

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya yang mayatnya ditemukan dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup dengan timbunan bantal di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, awal bulan ini.

Zulkifli Joned, 40, yang hadir ke mahkamah dengan berkemeja merah jambu hanya mengangguk tanda faham setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Zulkifli didakwa telah membunuh Nor Hidayah Ahmad, 30, di sebuah rumah di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, di sini, antara 8.53 pagi dan 11.20 pagi, 10 September lalu, yang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hakim Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 11 September lalu, media melaporkan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh ditemui oleh bapanya kira-kira 5.30 petang dalam keadaan berbungkus dalam selimut dan diletakkan dalam timbunan bantal dalam sebuah pangsapuri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa mati kerana sesak nafas dan turut menemui kesan cedera di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul. - Bernama

Artikel Berkaitan: