Pemuda UMNO desak Tommy undur, lima pemimpin PH disiasat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selain mendesak Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas meletak jawatan, Pemuda UMNO menggesa lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) disiasat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Exco DAP Selangor V Ganabatirau perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan mendakwa orang Islam menyerang Kuil Sri Maha Mariamman sehingga mempengaruhi 10,000 penganut Hindu untuk keluar merusuh di kuil berkenaan, pada malam Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bertugas.

Sementara empat Menteri lain iaitu M. Kulasegaran, P. Waytha Moorthy, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar katanya, perlu disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sehingga menyemarakkan lagi kemarahan penganut Hindu untuk keluar merusuh.

“Kami mahu Tommy letak jawatan kerana memfailkan afidavit yang berunsur subjudis dengan mengambil posisi mengenai Allahyarham Muhammad Adib yang jelas mendahului prosiding inkues manakala lima pemimpin PH lain didakwa menghasut.

“Pihak berkuasa juga perlu bertindak terhadap mereka yang membuat kenyataan berunsur hasutan sehingga berlaku rusuhan pada malam kedua di kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Adib ditarik keluar, dihentak pada hujung daun pintu EMRS

Asyraf Wajdi menyarankan pihak polis tidak menangguhkan urusan untuk mengenal pasti dan menyiasat suspek yang bertanggungjawab ke atas kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak berkuasa perlu tegas dan mengambil tindakan tanpa pilih kasih supaya keadilan terhadap Allahyarham yang lama tertangguh dapat disegerakan.

Pagi tadi, mahkamah memutuskan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim adalah akibat tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusan selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).