Penyatuan UMNO-Pas jejas peluang PH di Tanjung Piai

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpelukan selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 September lalu. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpelukan selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 September lalu. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KEMAMAN - Peluang Pakatan Harapan (PH) mungkin sedikit terjejas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris bagaimanapun optimis PH mempunyai kekuatan tersendiri untuk terus mempertahankan kerusi itu.

Menurutnya, komposisi kaum Melayu iaitu 56.8 peratus daripada keseluruhan 53,528 pengundi Parlimen itu akan menjadi penentu siapa yang akan menang.

"Kalau kita tengok peratusan pengundi di Tanjung Piai majoriti adalah Melayu. Ini akan menguatkan lagi sokongan kepada penyatuan UMNO dan Pas.

"Pada PRU14 lalu perlawanan tiga penjuru yang mana Bersatu menang dengan majoriti 524 undi. Ini adalah majoriti tipis kalau campur Pas dan UMNO, PH akan tumbang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jelajah SSPN 2019 peringkat negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Binjai di sini hari ini.

Razali
Razali

Bagaimanapun Razali berkata, dalam keadaan politik hari ini ramai dalam kalangan rakyat yang melihat PH mempunyai kekuatan tersendiri dalam menerajui negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, antara kejayaan terbesar PH adalah berjaya melunaskan janji pilihanraya iaitu memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

"Ini semua rakyat tahu. Malah jumlah indeks rasuah menurun secara mendadak selepas PH memerintah. Ini menunjukkan kerajaan PH serius untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

"Allahyarham Dr Md Farid memberikan perkhidmatan yang terbaik sebelum ini. PH juga kuat di Johor, situasinya tidak sama dengan Pantai Timur. Itu juga menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kecil kali ini," katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mengalami kekosongan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu kerana komplikasi jantung.

Pada PRU14 Dr Md Farid menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas) dalam perlawanan tiga penjuru dengan majoriti 524 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai uji 'perkahwinan' UMNO-Pas

Kasih UMNO-Pas kembali bertaut di PWTC