Ketua Geng Appu Boy masuk jel

Ravisankar tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Ravisankar tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini menjatuhkan hukuman penjara 45 bulan kepada Ketua Geng Appu Boy selepas disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah dan menghapuskan barang kemas sejak Mac lalu.

Majistret Norhabsarina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Ravisankar, 36, yang mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Beliau turut memerintahkan kesemua hukuman itu dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Tertuduh didakwa memiliki 1.53 gram monoacetylmorphine di sebuah rumah di Kampung Tersusun Kemuning di sini pada 7 Mei lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan selepas tertuduh disabitkan kesalahan itu di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati memasukkan morfin ke dalam tubuhnya di tandas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada 18 Mac dan 7 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu serta dikenakan pengawasan selama dua tahun.

Ravisankar turut didakwa sengaja menolong menghapuskan sebentuk cincin emas berukiran naga milik Cristine Goh Ze Ching, 19, dengan memajaknya di sebuah kedai pajak gadai di Ipoh pada 20 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara sembilan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili peguam P Suresh.

Ravisankar menjadi buruan polis selepas didapati terlibat dalam beberapa kes pecah rumah sekitar daerah itu membabitkan kerugian lebih RM100,000.