Kes Adib: Polis tidak tolak panggil semula beberapa individu

Selepas lebih sebulan, hari ini segalanya akan terungkai.
Selepas lebih sebulan, hari ini segalanya akan terungkai.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula individu yang disyaki terlibat dalam insiden membabitkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Allahyarham Muhammad Adib maut dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib akibat tindakan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali.

"Siasatan juga akan melihat siapa individu yang memukul Muhammad Adib. Perkara ini akan periksa dengan lebih lanjut dengan jabatan jenayah selepas kita menerima laporan penuh inkues tersebut dari mahkamah.

"Sama ada kita panggil semula, kita akan tengok berdasarkan kenyataan yang diberikan sebelum ini. Jika ada tokok tambah kita akan rekod semula keterangan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali

Hari ini, Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya itu adalah akibat tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Noor Azam (tengah) menyaksikan serah terima tugas Arjunaidi yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor menggantikan Ab Rashid. -Foto Sinar Harian
Noor Azam (tengah) menyaksikan serah terima tugas Arjunaidi yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor menggantikan Ab Rashid. -Foto Sinar Harian

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Ab Rashid Ab Wahab yang bersara wajib pada 30 September ini.

Penyerahan serah terima tugas antara Arjunaidi dan Ab Rashid berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Arjunaidi berkata, beliau memerlukan kerjasama daripada semua ketua jabatan dan ketua polis daerah untuk melaksanakan tugas dengan lebih jaya.

"Saya berjanji untuk pimpin kontinjen Selangor ke arah lebih tinggi dan membanggakan. Apa yang lebih penting kita perlu pandang ke hadapan dan perlu lihat apa yang perlu untuk kita rancang bersama-sama,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas di IPK Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ab Rashid berkata, beliau selama hampir 40 tahun berkhidmat dalam polis dengan memulakan karier pada 17 November 1979 sebagai Inspektor Percubaan di Batalion 12 sebagai polis hutan.

"Selangor bukan kontinjen mudah untuk bertugas. Semasa bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor, banyak kes besar dan mencabar perlu diharungi sebagai pegawai polis.

"Saya sentiasa doakan supaya dipermudahkan segala perjalanan tugas. Selama kira-kira dua tahun dua bulan saya di sini (Kontinjen Selangor), dengan berkat kerjasama diberikan oleh seluruh pegawai dan anggota kontinjen, saya respek anda semua," katanya.