BSN terus perkasa mandat kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini terus memperkasakan mandat kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses perbankan yang menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Untuk itu BSN memanfaatkan kepakaran dan pengalaman rangkuman kewangannya dengan disokong oleh 390 cawangan, 728 mesin teler automatik (ATM), 397 mesin deposit wang tunai (CDM) dan lebih 4,500 ejen bank berdaftar BSN (EB BSN) di seluruh negara bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

"Ia juga melalui perkhidmatan EB BSN yang mula diperkenalkan pada tahun 2012, BSN kini telah menyalurkan perkhidmatan perbankan meliputi 97 peratus daripada keseluruhan 886 mukim di Malaysia.

"Ia sekaligus menjadikan BSN satu-satunya bank yang memberi tumpuan dan akses perbankan secara menyeluruh kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar dalam usaha membantu kerajaan mencapai status negara maju," menurut kenyataan BSN hari ini.

Tambah BSN, EB BSN beroperasi di seluruh Malaysia di mana 64 peratus ejen adalah di lokasi luar bandar dan 36 peratus di lokasi bandar.

Selain menawarkan akses perbankan yang menyeluruh, BSN terus komited melaksanakan mandat yang telah dipertanggungjawabkan melalui pembiayaan mikro kepada usahawan industri kecil dan sederhana di negara ini.

Melalui sumber dari Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga Jun 2019, BSN merupakan peneraju pegangan pasaran bagi skim pembiayaan mikro di Malaysia iaitu sebanyak 41.8 peratus berbanding 10 institusi perbankan yang lain.

Sejak mula diperkenakan pada tahun 2007, pembiayaan mikro BSN telah berkembang dengan baik apabila berjaya membiayai lebih 64,000 pelanggan sehingga Jun 2019 dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.7 bilion berbanding 320 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5 juta pada tahun pertama diperkenalkan.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 38 Pusat Mikro Kewangan BSN di seluruh negara sentiasa bersiap sedia untuk membantu dan menawarkan khidmat nasihat kepada para usahawan yang ingin mendapatkan pembiayaan.

Pencapaian yang positif ini adalah bukti bahawa strategi dan pendekatan yang tepat telah dilakukan oleh BSN untuk kekal dalam sektor kewangan di Malaysia.

Sebagai sebuah Bank yang menggalas dwi peranan, BSN fokus untuk terus mengimbangi kepentingan komuniti dan menjana keuntungan bagi memantapkan kedudukan kewangannya.

Secara tidak langsung, peranan dan tanggungjawab yang telah dimandatkan oleh kerajaan juga tetap akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa seiring dengan pelbagai inisiatif dan pelan rangkuman kewangan untuk menyediakan akses perbankan yang berkualiti dan lebih menyeluruh bagi segenap lapisan komuniti di Malaysia.