Kongsi konsep Rahmatan Lil Alamin dengan Arab Saudi

Mujahid - Foto Bernama
Mujahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal berkongsi idea dan pengalaman pentadbiran Islam khususnya konsep Rahmatan Lil Alamin dalam membentuk dasar baharu Malaysia dengan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata perkara ini akan dibentangkan bulan depan bersempena lawatan kerjanya ke Arab Saudi bagi membincangkan isu semasa dan penambahbaikan berkaitan sistem pengurusan haji.

Menurut Mujahid, Arab Saudi telah meminta beliau untuk membentangkan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam konteks pentadbiran negara.

“Arab Saudi berminat untuk mendengar bagaimana kita memperkenalkan konsep ini dalam menjadikannya sebagai dasar negara dan kita juga berminat untuk mengambil pengalaman mereka dalam menguruskan kepelbagaian dan hubungan antara negara.

“Insya-ALLAH selepas mesyuarat pengurusan haji, saya akan ke Riyadh berbincang perkara ini dengan Menteri Agama Arab Saudi, Dr Abdul Latif Al Sheikh,” katanya ketika menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan Arab Saudi ke-89 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, konsep Rahmatan Lil Alamin sesuai digunakan di seluruh dunia Islam bagi menyebarkan keamanan dan kedamaian.

“Cuma kaedah untuk diterjemahkan dalam konteks dasar (negara) merupakan satu cabaran,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: