Kejutan Zii Jia

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia melakar kejutan apabila mengalahkan bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelson 21-18, 21-16 pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Incheon hari ini.

Ia merupakan kemenangan pertama pemain muda berusia 21 tahun itu selepas kalah 12-21, 20-22 kepada Axelson pada aksi suku akhir Malaysia Masters 2019 awal tahun ini.

“Saya amat gembira apabila layak ke suku akhir buat kali kesembilan dalam karier saya dan meraih kemenangan ke atas idola saya (Axelson), ia amat bermakna bagi diri saya.

“Bagaimanapun, Axelsen belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang dan kaki. Sudah berharap dia akan kembali semula (ke gelanggang) dengan lebih mantap lagi,” kata Zii Jia sejurus tamat perlawanan.

Bagaimanapun, Zii Jia akan berdepan dengan tugas getir apabila membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir esok.

Pertemuan dengan juara dunia dua kali itu merupakan kali keempat buat Zii Jia selepas dia tumbang dalam tiga perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland bulan lalu.

"Saya belum pernah menang ke atas Momota. Saya tahu ia sukar tetapi tidak mustahil,” katanya yang kini menduduki ranking ke-13 dunia.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila tumbang di tangan pemain India, Parupalli Kashsyap 21-17, 11-21, 12-21 dalam pertarungan hampir sejam.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Daren mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China pada kejohanan bernilai AS$400,000 (RM1.67 juta) itu.