Pegawai bank disamun empat individu

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pegawai bank berdepan detik cemas apabila disamun empat individu di rumahnya di Jalan SS12/2C di sini sekitar jam 6 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, sewaktu kejadian, mangsa berusia lingkungan 50-an itu sedang berada di halaman rumahnya sebelum didatangi empat suspek berkenaan.

Beliau berkata, suspek kemudiannya meluru masuk ke kawasan kediaman mangsa melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan menolaknya ke dalam rumah.

"Ada di antara suspek yang memakai baju hoody serta penutup muka. Malah salah seorang daripada mereka turut bersenjatakan rod besi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Risikin berkata, semasa di dalam rumah berkenaan, mangsa bersama suami, anak saudaranya serta pembantu rumah ditempatkan di ruang tamu dengan dikawal oleh salah seorang suspek terlibat.

Beliau berkata, tiga suspek lain bertindak menyelongkar semua bilik di rumah berkenaan dan mengambil barangan berharga seperti beg tangan, jam tangan, barang kes dan wang tunai.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dan anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah sekitar RM30,000.

"Mangsa serta ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, Risikin berkata, usaha mengesan kesemua suspek terlibat sedang giat dijalankan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.