Kes amuk: Polis cari tiga lelaki muat naik kenyataan sensitif

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mencari tiga individu susulan kenyataan berbaur sensitif yang tular di media sosial berhubung kes seorang lelaki mengamuk hingga menetak dua rakan sekerjanya sehingga seorang daripadanya maut dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua daripada tiga lelaki itu berada di Kedah dan seorang di Pulau Pinang.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 35 tahun hingga 40-an.

"Kita kesan di mana mereka ini membuat kenyataan di media sosial sebelum tular di Facebook dan WhatsApp.

"Kenyataan itu mendakwa suspek yang mati ditembak itu kononnya bertindak menyerang mangsa kerana menghina Nabi Muhammad, itu adalah tidak betul kerana kejadian disebabkan suspek yang dipercayai terpengaruh dengan video ganas dari luar negara," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima satu laporan polis di Pulau Pinang semalam berhubung dakwaan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengamuk di kilang ditembak mati

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun dan bekerja di kilang terbabit mengamuk dalam kilang serta menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala, manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun mengalami kecederaan tetapi berada dalam keadaan stabil.

Suspek maut ditembak selepas dia cuba menyerang anggota polis dengan parang.