Shukor pasang impian bawa Melaka United ke pentas Piala AFC

No Image Caption
A
A
A

BEKAS kapten kebangsaan, Shukor Adan memasang impian untuk membawa Melaka United beraksi di Piala AFC selepas kembali menabur bakti di negeri kelahirannya pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain berusia 39 tahun itu berkata usia yang semakin meningkat itu bukan satu halangan dalam sukan bola sepak namun beliau berazam untuk mencapai sesuatu kejayaan bersama skuad Sang Kancil.

"Bila saya dan pemain-pemain baharu datang ke sini (Melaka United) kami datang bukan hanya untuk 'makan gaji' tetapi bersama pasukan ini kita mahu mendapatkan kejayaan yang boleh dibanggakan.

"Dengan sokongan padu oleh penyokong-penyokong, kita sudah pasti tidak mahu menghampakan harapan mereka, kami akan berusaha untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir dan menempatkan kedudukan pasukan ini dalam kelompok terbaik," katanya.

Pemain pertahanan itu berkata mereka juga memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian antara pemain tempatan dan juga pemain import bagi mempersiapkan sebuah pasukan yang terbaik.

Katanya, buat masa ini beliau berharap penyokong tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi tetapi mereka sedaya upaya berusaha untuk mempamerkan sesuatu untuk dibanggakan.

Shukor berkata berkenaan sesiapa akan menjadi ketua pasukan, perkara itu tidak perlu dijadikan sesuatu isu dan ia terpulang kepada Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan untuk menentukan siapa yang bakal mengemudi pasukan itu dalam saingan musim depan.

"Sama ada Safiq (Rahim), Razman (Roslan) ataupun saya itu tidak perlu dijadikan isu, semua memiliki kelebihan masing-masing, apa yang penting kita lakukan adalah memikirkan bagaimana cara untuk naikkan pasukan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Safiq berkata beraksi dengan pasukan baharu beliau mahu memberikan yang terbaik bersama rakan sepasukan selain mengikut segala perancangan jurulatih di padang.

"Kebanyakan ramai muka-muka baharu dalam pasukan ini, namun apa yang penting kita bekerjasama dan saya akan membantu Melaka United," katanya - Bernama