'Jersi Perak terakhir arwah'

Ibu, Sariah Mat Rasid, 56, menunjukkan antara kenangan menonton bola sepak pasukan Perak yang disimpan arwah.
Ibu, Sariah Mat Rasid, 56, menunjukkan antara kenangan menonton bola sepak pasukan Perak yang disimpan arwah.
A
A
A

BAGAN SERAI - "Arwah memang peminat setia pasukan Perak, pantang ada peluang dia akan ke stadium untuk beri sokongan," demikian kata Abdul Latif Noor, 53, bapa kepada Muhammad Amirul Hakimi, 21, yang maut akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Perak dan Selangor di Stadium Perak, Ahad lalu.

Keterujaan Muhammad Amirul terhadap sukan bola sepak itu terutama kepada pasukan negeri kelahirannya jelas tergambar apabila dia meninggal dunia dalam keadaan memakai jersi Perak.

"Tengoklah, hari-hari terakhir dia kemalangan pun, arwah memakai jersi Perak. Saya diberitahu jersi itu dipenuhi darah.

"Jersi Perak yang dipakai arwah itu pun baju baru dan masa kejadian arwah juga sempat membeli sehelai lagi jersi baru," katanya.

Bagaimanapun katanya, jersi baharu itu tidak dijumpai.

"Arwah memang suka kumpul jersi, lagi-lagi kalau jersi Perak, pemain paling dia minati tentulah Brendan Gan.

"Dia memang semangat setiap kali ada perlawanan babitkan pasukan Perak, kalau tak silap saya, selain jersi baru, arwah juga pakai kasut yang baru dibeli melalui online," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Latif menerima ucapan takziah daripada Ronaldo Henrique Silva dan Hussein Eldor.
Abdul Latif menerima ucapan takziah daripada Ronaldo Henrique Silva dan Hussein Eldor.

Dia mengakui, pemergian anak keempat daripada lima beradik itu memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga lebih-lebih lagi dirinya yang selalu berkongsi cerita mengenai bola sepak.

"Bila duduk-duduk di rumah, tak lain pasal bolalah kami bersembang, cerita mengenai perkembangan pasukan Perak dan Liga Inggeris, kebetulan kami penyokong pasukan sama iaitu Manchester United," katanya.

Terdahulu, Abdul Latif menerima kunjungan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) di kediamannya di Kampung Tebuk Matau, Semanggol diketuai Setiausaha Kehormat, Tajul Hasnan Omar.

Turut hadir, Ketua Jurulatih, Mehmet Durakovic dan tiga pemain, Brendan Gan, Ronaldo Henrique Silva dan Hussein Eldor.

Sementara itu, Tajul Hasnan berkata, kehadiran mereka hari ini sebagai tanda simpati dan memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mangsa sepertimana diminta Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Arwah sememangnya penyokong setia Perak dan dia juga rapat dengan pemain, sudah tentu kehilangannya amat dirasai.

"Begitu pun, suka saya mengingatkan kepada penyokong dalam meraikan pasukan perlu berhati-hati sama ada dalam perjalanan pergi atau balik, kebiasaan perlawanan habis lewat dan sebarang kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Tajul Hasnan menyampaikan sumbangan Pafa kepada Abdul Latif ketika kunjungan mereka hari ini.
Tajul Hasnan menyampaikan sumbangan Pafa kepada Abdul Latif ketika kunjungan mereka hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan maut selepas lebih empat jam tersepit dalam kereta Perodua Alza yang terbabas di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh - Butterworth berhampiran Selinsing.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal selepas tonton bola

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi, namun keadaan mangsa hanya disedari orang awam pada jam 7.40 pagi.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya selepas menghantar rakan-rakannya pulang.