45 termasuk pelajar selamat, bas terbakar di Gerik

No Image Caption
A
A
A
GERIK - Tindakan pantas pemandu memberhentikan bas ekspres yang dipandunya setelah salah satu tayar meletup, menyelamatkan 45 penumpang termasuk pelajar sekolah rendah apabila kenderaan itu terbakar di puncak banjaran Titiwangsa di Lebuhraya Timur Barat (JRTB), di sini awal pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Nizam Zakaria berkata, pemandu bas yang dikenali sebagai Mohd Sabri Ismail, 53, mengarahkan semua pelajar itu turun menyelamatkan diri setelah bas terbakar sebaik berhenti di tepi jalan.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota bomba dan sebuah jentera pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada jam 1.22 pagi.

"Ketika bomba sampai di tempat kejadian pada jam 2.30 pagi mendapati bas ekspres itu telah terbakar 70 peratus.

"Bomba mengambil masa empat minit untuk memadam kebakaran dan operasi tamat kira-kira 3.40 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Artikel Berkaitan:


Mohd Nizam berkata, bas dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan ke Langkawi dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama