Sultan Nazrin tamat tugas pangku Agong

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bersalaman bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini selepas mengakhiri tugas baginda sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Agong dengan Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bersalaman bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini selepas mengakhiri tugas baginda sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Agong dengan Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berangkat meninggalkan Istana Negara setelah menamatkan tugas memangku Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sebelum itu berkenan menghadiri Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sebelum pasangan diraja berkenaan meninggalkan pekarangan Istana Negara kira-kira jam 5 petang.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja dimulakan dengan bacaan warkah menjunjung kasih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Istiadat diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali kepada pasangan diraja itu.

Keberangkatan pulang baginda berdua ke Istana Hinggap Perak, di sini, diiringi lambaian 500 pegawai dan warga kerja Istana Negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan isteri, Datin Seri Hamidah Osman mengiringi keberangkatan baginda berdua.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sejurus tiba di Istana Hinggap Perak, panji peribadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong diturunkan oleh lapan anggota tentera diketuai Staf Sarjan Mohd Shaiful Abdul Rashid.

Artikel Berkaitan:

Panji tersebut dilipat dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Istiadat di Istana Perak diakhiri dengan upacara menaikkan panji peribadi Sultan Perak.

Pada 2 November lalu, Sultan Nazrin Shah menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, sehingga hari ini. - Bernama