Reka bentuk, kelalaian punca tragedi maut Lion Air

Lion Air
Lion Air
A
A
A

MOSCOW - Pakar Indonesia mendapati bahawa kesilapan reka bentuk dan kelalaian adalah punca utama berlakunya tragedi maut membabitkan pesawat Boeing jenis 737 MAX milik Lion Air pada tahun lepas, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan media berkaitan kenyataan sumber yang rapat dengan draf akhir laporan kes itu.

Nahas itu berlaku di Indonesia pada 29 Oktober 2018 dan mengorbankan kesemua 189 orang yang berada dalam pesawat tersebut.

Pesawat itu, yang dalam perjalanan ke bandar Pangkal Pinang di Pulau Bangka, terputus hubungan dengan pusat kawalan udara 13 minit setelah berlepas dari lapangan terbang Jakarta sebelum terjatuh ke dalam laut.

Pada Mac, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia berkata, sehingga 90 peratus data yang diperlukan telah dikumpul bagi menyediakan laporan akhir berhubung nahas itu.

Antara faktor lain yang membawa kepada malapetaka itu ialah beberapa kesilapan juruterbang dan pihak penyelenggaraan, lapor The Wall Street Journal.

Menurut media, satu versi akhir laporan itu akan dikeluarkan pada November.

Wakil Boeing memaklumkan The Wall Street Journal bahawa syarikat itu terus membantu pihak berkuasa Indonesia dalam merangka laporan tersebut.

Dua pesawat Boeing jenis 737 MAX telah terhempas pada tahun lepas dengan yang pertama di Indonesia manakala yang kedua di Ethiopia pada Mac.

Artikel Berkaitan:

Tragedi kedua telah menyebabkan pihak berkuasa dan syarikat penerbangan di seluruh dunia mengambil keputusan untuk merehatkan semua pesawat Boeing jenis 737 MAX atau menutup ruang udara kepada mereka. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Sah Lion Air bermasalah sebelum berlepas