Pesara rugi lebih setengah juta diperdaya 'Inspektor Ting'

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesara kerajaan kerugian RM575,350 selepas terperdaya dengan sindiket Telephone Scam, semalam.

Wanita berusia 61 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon menggunakan nombor pejabat daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya dari Pejabat Pos Kuantan.

Lelaki berkenaan memaklumkan terdapat satu bungkusan milik pengadu mengandungi barang terlarang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan telah bercakap dengan pegawai polis bernama Inspektor Ting.

Menurutnya, pegawai penyiasat tersebut memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Inspektor tersebut memberitahu mangsa yang kes ini masih dalam siasatan dan meminta agar mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa merupakan suspek dalam kes tersebut. Selain Iitu mangsa juga diminta memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Kerana terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang simpanannya termasuk wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan dimasukkan ke akaun bank yang diberikan," katanya ketika dihubungi.

Noorzainy berkata, mangsa telah melakukan sebanyak 28 transaksi wang ke dalam 15 akaun bank dengan jumlah RM575,350 keseluruhan, yang kononnya kesemua wang mangsa tersebut adalah bagi tujuan siasatan dan keselamatan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas yakin dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi terlibat untuk sebarang pengesahan.

"Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.