Ajal selepas tonton bola

Mangsa maut selepas menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Mangsa maut selepas menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Perak, Ipoh semalam.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang penyokong Perak ditemukan maut selepas lebih empat jam tersepit dalam kereta Perodua Alza yang terbabas di KM93.5 Jalan Ipoh - Butterworth berhampiran Selinsing di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa, Muhammad Amirul Hakimi Abdul Latib, 21, yang tinggal di Kampung Tebuk Matau, Semanggol di sini, maut selepas menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Perak dan Selangor di Stadium Perak, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menerima makluman mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 7.40 pagi.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi namun tiada makluman awal diterima. Kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa dalam perjalanan dari Taiping menuju ke Semanggol.

“Setibanya di tempat kejadian, dipercayai kenderaan mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan bertentangan,” katanya.

Pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO: JBPM PERAK
Pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO: JBPM PERAK

Menurutnya, akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.

“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur langgar belakang berikutan tiada kesan brek ataupun serpihan kemalangan kenderaan lain ditemui di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘Polytrauma Secondary to Motovehicle Accident’,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.