Johor antara negeri paling banyak sungai tercemar

Zulkifli ketika melakukan tinjauan di Sungai Sembrong, Johor.
Zulkifli ketika melakukan tinjauan di Sungai Sembrong, Johor.
A
A
A

JOHOR - Bencana Sungai Kim Kim menggemparkan negara pada Mac lalu apabila ribuan penduduk Pasir Gudang hidup dalam keadaan ketakutan angkara udara dicemari toksik.

Namun, di sebalik kejadian itu, data Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2017 mendedahkan Johor merupakan antara negeri yang mempunyai paling banyak sungai tercemar.

Statistik data JAS mendapati Johor mempunyai 28 sungai tercemar dalam kelas tiga hingga kelas lima.

Malah lebih menakutkan, Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang menjadi satu-satunya sungai di negara ini yang berada dalam kategori kelas lima iaitu sungai paling teruk tercemar.

Menurut Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Zulkifli Yusop, terdapat beberapa pengkelasan sungai di Malaysia termasuk di Johor.

“Antara yang berada pada tahap sungai kelas ketiga ialah Sungai Sembrong, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim, Sungai Anak Sedili sementara Sungai Danga, Sungai Latoh, Sungai Kempas, Sungai Sebulung pula berada pada tahap sungai kelas keempat yang hanya sesuai untuk tujuan pengairan manakala Sungai Tukang Batu tergolong pada tahap sungai kelas kelima iaitu air tercemar teruk,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat tiga jenis pencemaran sungai iaitu pencemaran sumber bertitik dan tidak bertitik serta air kumbahan.

“Pencemaran sumber bertitik ini lebih mudah dikenal pasti seperti dari kilang-kilang dan loji rawatan kumbahan. Dari segi pengurusan ia lebih mudah kerana puncanya boleh dikenal pasti dan effluennya boleh dikumpul dan dirawat.

Artikel Berkaitan:

“Pencemaran tidak bertitik pula dari ladang, aktiviti pembangunan tanah membabitkan pembinaan, jalan raya dan sebagainya. Bagi pencemaran jenis sullage pula melibatkan sisa makanan dari dapur dan restoran yang dilepaskan melalui longkang atau parit dan terus melalui sungai,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, proses pencemaran sungai bukan berlaku dalam tempoh singkat dan ia terjadi disebabkan beban pencemar terlalu lama berada dalam sungai.