Seladang tumbangkan Red Giant di Ipoh

Pemain Perak, Brendan Gan Seng Ling (tengah) meraikan jaringan gol pertamanya bersama rakan sepasukan pada aksi Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2019 Perak menentang Selangor di Stadium Perak malam ini. -Foto Bernama
Pemain Perak, Brendan Gan Seng Ling (tengah) meraikan jaringan gol pertamanya bersama rakan sepasukan pada aksi Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2019 Perak menentang Selangor di Stadium Perak malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

PERAK berjaya menundukkan Selangor di laman sendiri hasil jaringan tunggal Brendan Gan di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Perlawanan pada babak pertama menyaksikan Perak mencipta beberapa peluang menerusi serangan ke kubu lawan.

Peluang Perak singgah pada minit ke-5 menerusi sepakan percuma oleh Nazirul Naim Che Hashim yang ditumbuk keluar penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Selang lima minit kemudian, Brendan Gan pula gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol apabila cubaan sekadar terus kepada penjaga gol.

Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus Brendan Gan pada minit ke-13 apabila hantaran Muhammad Firdaus Saiyadi tidak disia-siakan untuk meledak jaringan pertama buat Perak.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mula mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan.

Namun keampuhan benteng pertahanan Perak berjaya menyerap asakan anak buah B Sathianathan.

Peluang terbaik Selangor muncul pada minit ke-27 melalui percubaan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-27 namun berjaya dibaca kemas penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Artikel Berkaitan:

Kad kuning pertama perlawanan pula diterima Muhammad Syahmi pada minit ke 29 kerana menghalang larian Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menghampiri kotak penalti.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Selangor membuat pertukaran pertama pemain apabila K Sarkunan masuk menggantikan Abdul Latif Suhaimi.

Pada awal permainan, Selangor dilihat garang dengan membuat asakan ke kubu lawan.

Di sebalik asakan itu, Perak berjaya mencuri peluang pada minit ke-53 melalui hantaran sudut J Partiban yang berjaya ditanduk tepat oleh Brendan Gan ke gawang Selangor namun dinafikan Mohd Khairulazhan.

Anak buah Sathianathan kemudiannya menggandakan lagi asakan dan hasilnya, penyerang Selangor, Ifedayo mencipta peluang menanduk bola ke arah pintu gol Perak tetapi berjaya diselamatkan Muhammad Hafizul Hakim.

Ketika tempo perlawanan semakin rancak, Perak kemudiannya membuat pertukaran pertama pada minit ke-66 apabila Muhammad Shahrel Fikri keluar dan diganti oleh Careca.

Pada minit ke-69, Perak hampir menambah jaringan menerusi sepakan Ronaldo Silva hasil hantaran cantik J Partiban namun berjaya ditepis keluar penjaga gawang Selangor.

Beberapa minit kemudian, ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic membuat satu lagi pertukaran apabila Muhammad Firdaus dikeluarkan dengan diganti oleh Muhammad Rafiuddin Rodin.

Cubaan Selangor pada minit ke-77 melalui tandukan Kaptennya, Taylor Francis terus ke gawang Perak tetapi berjaya ditangkap Muhammad Hafizul Hakim.

Dalam pada itu, Partiban dikeluarkan akibat kecederaan dan diganti dengan pemain menyarung jersi 12, Kenny Pallraj pada minit ke-83.

Tamat perlawanan Perak kekal dengan satu gol yang menjadi bekalan ketika berkunjung ke Stadium Shah Alam pada 29 September nanti dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia.