Bajet 2020: Kembalikan bantuan sara hidup pesawah

Othman Aziz
Othman Aziz
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan bantuan sara hidup pesawah sebanyak RM200 sebulan dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan 13 Oktober depan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Othman Aziz berkata, bantuan itu wajar dikembalikan kepada pesawah seperti dinikmati golongan itu ketika ditadbir Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, bantuan sara hidup ini sangat penting kepada pesawah sementara menunggu hasil untuk dituai.

Othman yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, pesawah terpaksa menunggu selama 115 hari atau tiga bulan sebelum hasil padi dapat dituai.

"Dalam tempoh itu mereka tiada pendapatan dan terpaksa berhutang dengan orang tengah atau pemilik kilang padi bagi menampung perbelanjaan dan dikenakan faedah.

“Inilah antara sebab mengapa pesawah terpaksa bergantung kepada orang tengah atau kilang padi kerana golongan ini yang menentukan harga dan potongan padi mereka kelak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berharap agar kerajaan mengekalkan insentif dan subsidi yang pernah dinikmati golongan pesawah, bagi memastikan pengeluaran makanan rugi rakyat Malaysia terjamin dan dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan beras import.

Othman yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (Mada) berkata, antara sebab kerajaan BN memberi bantuan sara hidup kepada pesawah adalah supaya aktiviti orang tengah diminimumkan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Pesawah juga berdepan pelbagai risiko seperti tanaman diserang penyakit atau bencana alam.

"Pemberian RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan pertama sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan RM150 juta telah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018,” katanya.

Menurutnya, bantuan itu untuk dinikmati 325,518 pesawah seluruh negara termasuk pengusaha padi bukit di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan BN telah membuat pembayaran selama tiga bulan sebelum dihentikan kerajaan PH selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kerajaan PH harus sedar golongan pesawah yang membanting tulang mengeluarkan makanan kepada 30 juta rakyat negara ini, mereka seharusnya diberi perhatian,” katanya.