Kaedah khas bantu mudahkan OKU dapat sijil: Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar - Foto Bernama
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan satu kaedah khusus untuk pensijilan orang kurang upaya (OKU) bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pensijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) itu akan memudahkan golongan OKU mendapat sebarang sijil dalam apa-apa bidang atau kemahiran.

“Kalau dilihat ramai golongan OKU mampu dan boleh bekerja tetapi mereka tidak ada sijil. Kesukaran untuk mendapatkan pensijilan itu adalah kerana golongan OKU juga perlu menjalani ujian sama seperti calon normal yang lain.

"Kaedah khas yang mula dirangka sejak Januari lalu itu kini (sedang dibangunkan) dalam peringkat akhir dan selepas ini diharap golongan OKU akan mudah dapat kerja dalam sektor awam atau swasta," katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya Kemahiran Keusahawanan (4K) dan Kompetensi Insan Istimewa (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk pelaksanaan kaedah itu, dua Industry Lead Body (ILB) iaitu Malaysian Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Kita mula dengan bidang automotif dahulu dan ujian pensijilan pertama bagi kaedah khas itu dijangka akan diadakan pada Oktober depan yang membabitkan 11 calon dari seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, penganjuran Karnival 4K bertujuan memberi pendedahan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengenai bidang kerjaya selepas tamat belajar dan sekali gus dapat membina keyakinan mereka untuk bekerja dalam industri sebenar.

"Golongan OKU ini tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya perlu dibimbing kerana mereka juga mampu membangunkan negara. Karnival ini boleh menjadi penanda aras untuk membantu golongan ini mendapat peluang pekerjaan dan pendedahan tentang kerjaya.

"Jadi kita akan terus adakan semua aktiviti dan strategi di peringkat kementerian untuk pastikan jumlah kebolehpasaran golongan OKU ini dapat dipertingkatkan lagi setiap tahun," katanya. -Bernama