Tun M terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM

Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A

GEORGETOWN - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor sempena Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Naib Canselor USM, Datuk Dr Asma Ismail berkata, program yang akan bermula hari ini sehingga 29 September itu akan diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra USM di sini.

Asma berkata, bagaimanapun, Mahathir tidak akan menghadiri bagi menerima anugerah tersebut yang mana istiadat pemberian anugerah akan diadakan di Istana Arau Perlis nanti.

"Sebagai negarawan ulung negara dan sumbangan besar beliau kepada negara serta masyarakat global, USM telah memilih Mahathir untuk menganugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor esok (hari ini).

"Tiga lagi tokoh akan menerima anugerah dalam konvokesyen tersebut iaitu ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan," katanya pada sidang akhbar khas di Canselori USM di sini semalam.

Sementara itu, Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains akan diberikan kepada penerima Hadiah Nobel dalam bidang fizik iaitu Profesor Dr Shuji Nakamura.

"Bagi Konvokesyen Komemoratif ini, Canselor USM, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakannya pada jam 10 pagi esok (hari ini).

"Selain itu, Tuanku akan mempengerusikan sidang pertama iaitu pada Selasa ini dengan menyaksikan 554 graduan menerima ijazah termasuk empat tokoh akademia USM dengan gelaran Profesor Emeritus iaitu Datuk Dr Wazir Jahan Begum Abdul

Karim; Dr Yuen Kah Hay, Dr Johan Saravanamuttu Abdullah dan Datuk Dr B Chatar Singh," katanya.

Seramai 6,338 graduan akan menerima ijazah sepanjang Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen ke 57 USM ini termasuk tiga Ijazah Kehormat; Profesor Emeritus (4); Ijazah Doktor Falsafah (508); Ijazah Sarjana (1,564), Ijazah Sarjana Muda (4,266) dan Diploma Kejururawatan (45).