Jerebu: Sri Aman kembali catat IPU sangat tidak sihat

Foto fail pemandangan kemerahan akibat jerebu di Sri Aman. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Daerah Sri Aman, Sarawak kembali mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat sehingga jam 1 tengah hari ini.

Berdasarkan bacaan kualiti udara di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman yang pernah mencatatkan bacaan melebihi 400 iaitu berbahaya pada Jumaat lalu tetapi berkurangan kepada tidak sihat sejak semalam hingga pagi ini, mencatatkan paras 204.

Lima kawasan baharu dengan kualiti tidak sihat ialah Langkawi, Kedah (104); Seberang Perai, Pulau Pinang (107); Sarikei, Sarawak (103) dan dua di Johor iaitu Pasir Gudang (107) dan Pengerang (103).

Kekal dengan IPU tidak sihat sejak pagi tadi, dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras (155) dan Batu Muda (134), sementara Putrajaya (132), diikuti Minden (140), Seberang Jaya (115) dan Balik Pulau (151) di Pulau Pinang.

Lima kawasan di Perak turut merekod bacaan IPU lebih 100 ialah Taiping (123); Tasek Ipoh (186), Pegoh Ipoh (159);Seri Manjung (147); dan Tanjung Malim (129) serta di Kedah melibatkan Sungai Petani (115) dan Kulim Hi-Tech (117).

Turut kekal dengan IPU lebih 100, Tangkak (103) dan Segamat Johor (130) dan enam kawasan di Selangor iaitu Johan Setia Klang (197); Kuala Selangor (155), Petaling Jaya (133); Shah Alam (135); Klang (130); dan Banting (118), diikuti Nilai (140);Seremban (124) dan Port Dickson (116) di Negeri Sembilan.

Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di Alor Gajah, Melaka (106); tiga di Terengganu membabitkan Kemaman (142); Paka (125); dan Kuala Terengganu (136); serta lima di Pahang iaitu Rompin (118);Temerloh (137); Jerantut (144); Indera Mahkota Kuantan (150); dan Balok Baru Kuantan (137).

Di Sarawak tiga lagi kawasan berada pada paras IPU tidak sihat iaitu Miri (105); Kuching (123); dan Samarahan (133).

Satu lagi kawasan di Sarawak iaitu ILP Miri menunjukkan perkembangan baik selepas bacaan IPU tidak sihat di sebelah pagi turun kepada sederhana, ketika ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dalam perkembangan sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah gambut di Sri Aman yang memasuki hari ketujuh hari ini diteruskan susulan pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak pagi tadi yang mendapati kejadian kebakaran gambut masih lagi berlaku di negeri itu dengan anggaran kawasan kebakaran bertompok yang masih terbakar seluas 4.8 hektar.

"Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di barat Sarawak oleh Jabatan Meterologi Malaysia dan Tentera Udara D‏‏iraja Malaysia pada 20 September berjaya menghasilkan hujan di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Saratok dan Sarikei. Operasi ini dijangka diteruskan hari ini di Sarawak bergantung kepada keadaan atmosfera," menurut kenyataan itu hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebanyak 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman yang terbakar berjaya dipadamkan pasukan bomba dengan kerjasama pelbagai agensi sehingga semalam.

Menurut Nadma, operasi water boombing akan cuba dilaksanakan di kawasan terjejas hari ini menggunakan sumber air dari Sungai Linga, Sarawak.

"Semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak dapat melaksanakan water boombing berikutan masalah mendapatkan sumber air yang sesuai di lokasi pemadaman," katanya menambah​​​​​​ sebanyak tujuh titik panas dikesan di Sarawak iaitu tiga di Sri Aman dan empat di Miri, pagi tadi. - Bernama