Isu MyKad: JPN henti serta-merta pendaftaran lewat kelahiran

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di semua negeri dengan menetapkan proses itu hanya boleh dilakukan di ibu pejabat sahaja.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, perkara itu antara yang diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim Rabu lalu, susulan isu sindiket penjualan kad pengenalan atau MyKad kepada warga asing.

Menurutnya, selain untuk membincangkan langkah penambahbaikan serta-merta, mesyuarat itu juga dijalankan bagi menetapkan strategi memperkemaskan sistem penyampaian JPN termasuk memperketat prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada.

“Mesyuarat juga memutuskan untuk meningkatkan kekerapan proses naziran secara mengejut di semua JPN termasuk terhadap vendor yang terlibat bagi memastikan semua tatacara yang ditetapkan dipatuhi.

“Menambah baik aras keselamatan berperingkat agar ia tidak boleh lagi diakses dengan mudah oleh semua pegawai sebaliknya perlu melalui verifikasi daripada pegawai atasan,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Muhyiddin berkata, antara perkara lain yang turut diputuskan ialah menukar pegawai JPN secara pusingan untuk mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun untuk meminimumkan salah guna kuasa.

"Selain itu, menyemak semula semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan dari pangkalan sistem bagi mengelakkan salah guna dan untuk tempoh jangka panjang, JPN mengusul diwujudkan bank data deoxyribonucleic acid (DNA) serta dimasukkan dalam sijil kelahiran supaya dapat mengekang ketirisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam penjualan MyKad dan memberi kuasa penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

Dalam perkembangan sama, Muyhiddin juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“KDN tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita-berita yang tidak sahih dan palsu yang ditularkan. Tindakan tegas akan diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

Muhyiddin akan jumpa kepimpinan Imigresen, JPN