Pemimpin zahir takziah di Twitter, FB pemergian Md Farid

Antara ucapan pemimpin yang sedih dan terkejut dengan khabar duka pemergian Md Farid.
Antara ucapan pemimpin yang sedih dan terkejut dengan khabar duka pemergian Md Farid.
A
A
A

SHAH ALAM - Laman sosial Twitter dan Facebook hari ini dipenuhi ucapan takziah daripada pemimpin-pemimpin negara serta politik susulan pemergian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai.

"Saya mewakili Keadilan mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi tadi akibat serangan jantung.

"Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Saya mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hamba yang soleh dan beriman. Al-Fatihah," tulisnya.

Sementara itu, dalam ucapan berasingan di Twitter, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan antara pemimpin terawal menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan berita tersebut.

"Sedih menerima berita pemergian YB Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik pagi tadi. Takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga Jabatan Perdana Menteri.

"Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan maghfirah oleh ALLAH SWT dan memperolehi husnul khatimah. Al-Fatihah," ciapnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyifatkan pemergian Md Farid sebagai satu kehilangan besar.

Artikel Berkaitan:

"Kami kehilangan seorang sahabat yang sangat peramah, gigih bekerja untuk rakyat, berprinsip, berintegriti, berdisiplin dan profesional. Takziah kami ucapkan kepada isteri Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik," ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Md Rafik walaupun berbeza fahaman politik.

"Innalillahwainnailaihirojiun. Takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Parlimen Bersatu Tanjung Piai Md Farid Md Rafik. Al Fatihah," tulisnya di Facebook.