Apa nasib Kampung Baru?

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Kampung Baru merupakan kampung yang sangat ikonik di Kuala Lumpur. Di sebalik kemodenan kota metropolitan itu, wujud sebuah perkampungan Melayu yang kebanyakan kawasannya masih mengekalkan ciri-ciri sebuah kampung Melayu.

Disebabkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, beberapa idea diketengahkan untuk membangunkan kawasan itu. Pembangunan itu pastinya melibatkan pengambilan tanah penduduk kampung tersebut.

Lazimnya, pembangunan yang memerlukan kerajaan mengambil tanah penduduk, pasti ia akan melibatkan perbincangan yang sangat panjang. Penduduk pasti membantah namun kerajaan pula menegaskan, pembangunan harus dibuat demi ekonomi negara.

Selepas bertahun-tahun membincangkan isu tersebut, akhirnya hari ini lebih 2,000 orang dijangka menghadiri program Town Hall Bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Antara pengisian program tersebut adalah Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baru yang difahamkan kali ini dibuat dengan pendekatan berbeza dengan penglibatan dan sokongan penuh kerajaan.

Meskipun jaminan sedemikian diberikan namun ia nampaknya masih belum diterima beberapa kelompok yang membantah cadangan berkenaan. Hari ini, mereka akan menganjurkan program ‘Belia dan Pemuda Kampung Baru Bangkit’ di Dewan Felda Semarak, Kuala Lumpur.

Penganjur menganggarkan 200 orang akan hadir namun jika benar cadangan pembangunan itu menerima bantahan keras daripada penduduk, mungkin ramai lagi yang akan hadir.

Berdasarkan laporan berita pada 25 April lepas, dianggarkan 88 peratus pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru bersetuju dengan hasrat kerajaan membeli tanah milik mereka, kata Pengarah Pengurusan dan Komunikasi Korporat Perbadanan Kampung Baru, Roslan Mohamad.

Artikel Berkaitan:

“Kita dah buat kajian dan tinjauan memang 88 peratus pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru setuju jika tanah mereka dibeli oleh kerajaan untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan bersepadu.

“Jika pemilik dan pewaris bersetuju dengan penjualan tanah ini kepada kerajaan, maka penyewa atau pengusaha premis di Kampung Baru juga harus bersetuju untuk menjualnya kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Kisah Kampung Baru sebenarnya bukan baru bermula, ia mula dibincangkan sejak zaman kerajaan terdahulu. Sejujurnya, program town hall bersama penduduk merupakan satu mekanisme yang baik, boleh mendengar terus keluh-kesah rakyat dalam isu tersebut.

Hakikatnya, projek pembangunan di kawasan itu pasti melibatkan kos tinggi. Khalid sebelum ini berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu.

Menurutnya, dana sebanyak itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Biar apa pun perancangannya, identiti kampung ikonik di Kuala Lumpur itu harus dikekalkan. Usahlah dihilangkan nama kampung tersebut dan digantikan dengan nama lain hanya kerana ia dimodenkan dengan pembangunan.

Hari ini, idea dan perancangan untuk Kampung Baru bakal dibentangkan. Harapan penduduk sudah semestinya segala perancangan memberi manfaat kepada mereka, bukan menindas mereka.

Adakah ia bakal menerbitkan titik noktah untuk segala isu berbangkit sebelum ini? Sama-samalah kita tunggu...