APMM usir kapal penguat kuasa Vietnam

368315
368315
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengusir keluar kapal penguat kuasa Vietnam 'Fisheries Resources Surveillance KN 205' yang mengganggu aset APMM ketika menjalankan tugas menahan bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed berkata, aset APMM iaitu KM Langkawi menahan bot nelayan Vietnam itu ketika cuba merompak hasil laut negara di kedudukan kira-kira 167 batu nautika timur laut Tanjung Mat Amin Terengganu pada jam 9.48 pagi.

"Kapal penguat kuasa Vietnam terbabit telah cuba menghalang anggota penguat kuasa APMM dengan cuba menghimpit bot tahanan selain membuat pusingan berbahaya di hadapan KM Langkawi.

"Namun cubaan mereka gagal apabila KM Langkawi berjaya menghalang mereka daripada merapati bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut,"katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, APMM telah memaklumkan insiden tersebut kepada Wisma Putra.

Ibrahim berkata, APMM juga telah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam untuk mengadakan perbincangan bagi menangani insiden itu pada hari ini namun beliau tidak dapat hadir dan hanya akan bertemu wakil daripada Bahagian Operasi APMM pada minggu hadapan.

Menurutnya, kapal penguat kuasa Vietnam itu pada mulanya meminta KM Langkawi melepaskan bot nelayan mereka namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi memandangkan bot nelayan berkenaan telah melakukan kesalahan yang berat iaitu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut negara.

Beliau berkata, kapal penguat kuasa tersebut kemudiannya telah diarahkan keluar dari perairan negara.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim berkata, bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Vietnam ditahan dan diesel kira-kira 9,000 liter serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM700,000 turut dirampas.

Bot dan semua kru Vietnam tersebut telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 6 petang semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Ibrahim berkata, APMM akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam.

Sejak 2006 hingga kini, APMM telah menahan 1,272 bot nelayan asing dengan jumlah kru yang ditahan sebanyak 10,408 orang, dan daripada jumlah itu, 784 bot merupakan bot nelayan Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 7,399.

Nilai rampasan keseluruhan bot nelayan asing sejak 2006 dianggarkan berjumlah RM1.2 bilion. - Bernama