Penjawat awam berbelanja di luar kemampuan

Shamshun Baharin (kanan) ketika program Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Shamshun Baharin (kanan) ketika program Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

MULA berkhidmat sejak 1984 dengan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil boleh dianggap sebagai ‘orang lama’ dalam suruhanjaya berkenaan.

Kini memegang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, beliau mempertaruhkan pengalamannya selama 35 tahun bagi memastikan perkhidmatan SPRM terus efektif dan efisien.

Ikuti perkongsian beliau mengenai SPRM dan isu terkini dalam negara menerusi program Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

"Kenapa kadang-kadang mereka terlibat dalam rasuah walaupun mereka bekerja sebagai penjawat awam? Pertama, kalau kita lihat yang berlaku, salah satu faktornya kerana mahu kekalkan gaya hidup, berbelanja di luar kemampuan.

Kalau pakai jam, jam yang paling mahal. Kadangkala ada yang berharga RM600,000 yang buat kita fikir tidak munasabah penjawat awam pakai jam sebegitu. Selain itu, kita lihat kenapa mereka terlibat rasuah kerana dunia teknologi maklumat (IT) sekarang.

Keadaan itu membuka ruang dan peluang penjawat awam terlibat rasuah apabila mereka main judi internet. Itu pun membimbangkan sebab ada berlaku penjawat awam terlibat dengan judi internet, akhirnya mereka terbeban dengan hutang, pinjam ah long dan mungkin juga akhirnya akan terlibat rasuah apabila ruang dan peluang itu ada.

Kalau diambil kira daripada peringkat awal usaha pencegahan rasuah, yang pentingnya adalah kebersamaan. Kita jangan lihat isu rasuah hanya entiti SPRM perlu menanganinya tetapi kita semua sebagai rakyat. Kita mesti ada perasaan tanggungjawab.

Sekiranya kita melihat perkara itu (rasuah) berlaku depan mata, kita mesti laporkannya. Jangan disebabkan kita fikir malas ke mahkamah, malas nak laporkan kepada SPRM kerana ada banyak karenahnya nanti, jangan fikir begitu.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita benar-benar bertanggungjawab dan mahu negara bersih daripada rasuah, kita semua mesti berani tampil ke hadapan untuk memerangi rasuah.

Kalau boleh kita mahu mewujudkan masyarakat seperti di Finland. Biar masyarakat bila lihat jirannya itu secara tiba-tiba memakai kereta mewah, tiba-tiba hidup mewah, terus buat laporan. Mesti ada sesuatu yang tidak kena.

“Jangan sampai nasi dah jadi bubur baru kita nak lakukan tindakan. Kita mesti cegah daripada peringkat awal. Kita nak supaya akhirnya kita dapat wujudkan masyarakat yang betul-betul alah kepada rasuah. Janganlah orang yang terlibat dengan rasuah pun kita agung-agungkan.

“Walaupun kita tahu mereka telah dituduh di mahkamah tetapi masih ada masyarakat yang anggap perkara itu tidak wujud. Sepatutnya orang yang terima rasuah itu, kita patut benci dan kita patut hina. Ini kita agungkan pula.

SPRM tak ‘pilih bulu’ dalam siasatan

“Dari sudut undang-undang, yang memberi salah dan yang menerima pun salah tetapi apa yang berlaku, realitinya adalah orang yang memberi yang banyak buat laporan sedangkan yang menerima jarang membuat laporan sebab mereka terima.

“Kadang-kadang mereka rasa bukan mereka minta, orang yang nak bagi. Kadangkala ada isu, orang yang ditawarkan itu datang membuat laporan, pasti kita akan siasat. Kita tak pilih bulu dalam siasatan, asalkan kita terima maklumat berhubung salah laku dan rasuah, kita akan siasat.

“Kalau tanya pandangan saya, saya amat bersetuju di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia sangat membantu dalam memerangi korupsi di sana. Kita juga berharap NGO di Malaysia berperanan seperti NGO di Indonesia.

“Jika saya lihat dari segi pelaksanaan, NGO di sini banyak mengharapkan bantuan kita sepenuhnya, sedangkan kalau dilihat di Indonesia, mereka betul-betul berdikari dengan sendiri supaya mereka tidak terikat dan pada masa sama boleh melaksanakan fungsi mereka tanpa campur tangan daripada badan pencegah rasuah di sana.

“Kita mengharapkan NGO di sini bebas menyuarakan apa sahaja sekiranya mereka mendapati ada perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau undang-undang.

Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR



Campur tangan politik

“Berdasarkan pengalaman saya sejak 35 tahun saya berkhidmat, siasatan dan perlaksanaan tugas kakitangan SPRM adalah profesional. Satu ketika dahulu, memang ada isu bila ada campur tangan ketika siasatan masih dijalankan.

“Pentadbiran kerajaan baharu dapat menyelesaikan perkara tersebut, kita dapat melihat mana-mana agensi anti rasuah di peringkat antarabangsa dapat melaksanakan tanggungjawab mereka secara bebas dan telus tanpa ada campur tangan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"SPRM mengadakan kursus yang berkaitan kepada pegawai SPRM dari masa ke semasa, Kita mahu memberi pendedahan kepada kakitangan terhadap dunia teknologi pada masa kini termasuk dari segi 'forensic accounting'.

“Pada zaman saya ada kesukaran ketika melakukan siasatan berbanding pada masa kini, sekarang ini pegawai kita dilatih dalam penyiasatan, mereka didedahkan dengan perkara yang penting.

Bertindak dengan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak

“Orang luar yang menerajui SPRM merupakan perkara biasa, bukan perkara asing bagi kita. Daripada 14 Ketua Pengarah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, hanya tiga sahaja orang dalam, yang lain itu semua orang luar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) dan Peguam Negara.

“Ia bukan perkara asing bagi kita, paling penting sesiapa sahaja menerajui SPRM, beliau mesti dapat bertindak dengan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Saya baru beberapa bulan berkhidmat dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. Setakat ini beliau dapat melaksanakan tanggujawab dengan baik. Saya memberi kepercayaan dan sokongan kepada beliau.

“Beliau (Latheefa) juga mempunyai latar belakang perundangan dan kebetulan kita dalam proses untuk menambahbaik peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan SPRM dapat melaksanakan tugas dengan baik," katanya.