Wanita dicari bantu siasat upah haji

Nur Nabilah Ismail, 26, dicari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Nur Nabilah Ismail, 26, dicari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penipuan ejen upah haji yang melibatkan kerugian RM1,500.

Ketua JSJK, Superintenden Aibee Ab Ghani berkata, wanita berkenaan Nur Nabilah Ismail, 26, dicari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa ditipu sebanyak RM1,500 selepas berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Nora dari sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan upah haji.

"Mangsa telah memasukkan wang berkenaan ke dalam satu akaun Bank sebagai bayaran upah haji untuk arwah ibunya pada 22 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun katanya, sehingga Julai lalu wanita itu gagal dihubungi dan mendapat tahu ramai lagi yang menjadi mangsa syarikat tersebut yang beralamat di Kuala Lumpur.

Aibee berkata, semakan mendapati lapan lagi kes sama disiasat iaitu lima kes di Kuala Lumpur, dua kes di Pahang dan satu di Selangor dengan kerugian keseluruhan RM183,091.58.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Sarjan Ahmad Muhaimin Mohd. Hadzam di talian 019-2105473 atau 06-7612222.

Artikel Berkaitan: