Selangor singkirkan Felda United

Pasukan Selangor meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Piala Malaysia bersama penyokong selepas mengalahkan Felda United, 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam kelmarin. FOTO: BERNAMA.
Pasukan Selangor meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Piala Malaysia bersama penyokong selepas mengalahkan Felda United, 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam kelmarin. FOTO: BERNAMA.
A
A
A

SELANGOR mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Felda United 2-0, pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.

Ketua jurulatihnya B Sathianathan mengakui pasukannya bermula agak goyah pada awal perlawanan, namun The Red Giants berjaya mencipta kebangkitan dengan menjaringkan gol pertama menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-16.

Menurutnya, jaringan itu jelas menyuntik semangat skuad Merah Kuning dengan mendominasi permainan selain mencipta lebih banyak peluang ke gawang lawan sebelum Mohd Khyril Muhymeen Zambri menggandakan jaringan pada minit ke-72.

"Saya ingat, kita berhak untuk menang. Pada awalnya kita terlalu menghormati lawan, tetapi bila kita berdisiplin kita berjaya bangkit dan mengawal perlawanan kerana kita tahu Felda United juga perlu menang.

"Mereka (Felda United), kena keluar dan tidak boleh bermain macam biasa dengan bertahan dan kemudian buat serangan balas. Mereka perlu menang dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol," katanya sejurus tamat perlawanan.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Selangor menamatkan saingan Kumpulan D selaku juara kumpulan dengan mengumpul 10 mata hasil dua kemenangan dan seri empat kali daripada enam perlawanan.

Selaku juara kumpulan, Selangor bakal berdepan naib juara Kumpulan C yang juara bertahan Piala Malaysia, Perak di pentas suku akhir kelak.

Sementara itu, Sathianathan menyifatkan Perak sebagai lawan yang kuat selain dibarisi ramai pemain handalan dan beraksi di gelanggang lawan bukan sesuatu yang mudah buat anak buahnya untuk meraih kemenangan di Ipoh nanti.

Artikel Berkaitan: