Jerebu: IPU meningkat di Sarawak

Enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dengan Mukah menjadi lokasi terbaru mencatatkan IPU sangat tidak sihat.
Enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dengan Mukah menjadi lokasi terbaru mencatatkan IPU sangat tidak sihat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan kawasan di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 12 tengah hari ini, sementara enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dengan Mukah menjadi lokasi terbaru mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Mukah meningkat kepada 208 berbanding 197 pada jam 8 pagi tadi.

Bacaan IPU di Kuching dan Samarahan, Sarawak pula kekal dalam kategori sangat tidak sihat apabila masing-masing mencatat bacaan 270 dan 224. Turut mencatat IPU sangat tidak sihat di Sarawak ialah Sibu (245), Sarikei (237) dan Sri Aman (212).

Sementara itu, di Semenanjung, kebanyakan kawasan menunjukkan penurunan bacaan IPU termasuk Johan Setia di Klang dengan bacaan 169 (tidak sihat) berbanding 260 (sangat tidak sihat) pada jam 3 petang semalam.

Bagaimanapun, bilangan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 meningkat kepada 39 hari ini berbanding 35 semalam.

Antara kawasan dalam kategori tidak sihat ialah Sungai Petani (125) dan Kulim Hi-Tech (119) di Kedah; Balik Pulau (184), Minden (159) Seberang Jaya (134) dan Seberang Perai (119) di Pulau Pinang, selain empat kawasan di Perak melibatkan Taiping (121), Tasek Ipoh (145), Pegoh Ipoh (112) dan Seri Manjung (105).

Kawasan lain yang mempunyai bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (134) dan Cheras (144) di ibu negara, Putrajaya (145) serta empat stesen di Selangor melibatkan Kuala Selangor (119), Petaling Jaya (156), Klang (131), Banting (145) dan Johan Setia Klang (169).

Turut menyaksikan kualiti udara tidak sihat ialah Nilai (160), Seremban (128) dan Port Dickson (164) di Negeri Sembilan serta Alor Gajah (135), Bukit Rambai (143) dan Bandaraya Melaka (140) di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Di Johor, tujuh kawasan merekodkan bacaan tidak sihat melibatkan Segamat (139), Batu Pahat (130), Kluang (131), Larkin (144), Pasir Gudang (112), Kota Tinggi (109) dan Tangkak (135).

Empat kawasan di Sarawak turut mencatat IPU tidak sihat iaitu ILP Miri (107), Miri (107), Samalaju (134), Bintulu (147) serta tiga kawasan di Terengganu iaitu Kemaman (107), Paka (108) dan Kuala Terengganu (125).

Sebanyak 23 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya). - Bernama