Aktivis kanak-kanak Thailand 'perangi' plastik

Aktivis muda berusia 12 tahun dari Thailand, Ralyn Satidtanasarn atau mesra dipanggil Lilly sering menyertai aktiviti pembersihan sampah anjuran persatuan tempatan Trash Hero. - Foto AFP
Aktivis muda berusia 12 tahun dari Thailand, Ralyn Satidtanasarn atau mesra dipanggil Lilly sering menyertai aktiviti pembersihan sampah anjuran persatuan tempatan Trash Hero. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Ponteng sekolah demi mengutip sampah sarap di terusan Bangkok yang kotor, Ralyn Satidtanasarn atau mesra dipanggil Lilly sedang dalam misi membersihkan Thailand dengan purata seorang penduduknya menggunakan lapan beg plastik setiap hari.

"Saya seorang kanak-kanak yang sedang berjuang. Saya cuba kekal optimistik, namun pada masa sama saya berasa marah.

"Dunia kita semakin menghilang," kata aktivis berusia 12 tahun itu selepas melaksanakan rutin mengutip sampah di terusan berkenaan.

Pada bulan Jun lalu, Lilly memperoleh kejayaan pertama apabila berjaya memujuk Central, sebuah pasar raya besar di Bangkok untuk berhenti mengedarkan beg plastik kepada pelanggannya sekali dalam seminggu.

"Saya berkata kepada diri, sekiranya kerajaan enggan mendengar, saya harus bercakap terus dengan pihak yang mengedarkan beg plastik dan meyakinkan mereka untuk berhenti," katanya.

Thailand adalah penyumbang global keenam terbesar kepada pencemaran laut dan plastik sebagai satu 'bencana'.

Sama ada digunakan untuk membungkus makanan atau barangan runcit, penduduk Thailand menggunakan 3,000 plastik sekali guna setiap tahun, 12 kali lebih banyak daripada penduduk Kesatuan Eropah (EU).

Namun tahun ini, beberapa jenama besar termasuk pengendali rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, berikrar berhenti mengedarkan beg plastik sekali guna menjelang Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Cara pemikiran juga mula berubah tahun ini dengan kematian menyedihkan beberapa mamalia marin yang perutnya dipenuhi plastik.

Kematian seekor anak dugong diberi nama 'Mariam' meraih perhatian warga media sosial sekali gus menghidupkan kembali perdebatan dalam kerajaan berhubung cadangan larangan terhadap kebanyakan plastik sekali guna menjelang 2022.

Lilly mengutip sampah sarap di sepanjang terusan Bangkok yang kotor. - Foto AFP
Lilly mengutip sampah sarap di sepanjang terusan Bangkok yang kotor. - Foto AFP

Bagaimanapun, para pengkritik berkata, selain peraturan baharu, mekanisme penguatkuasaan seperti denda juga perlu.

Sementara itu, aktivis muda seperti Lilly boleh membantu meraih perhatian ramai.

Lilly mula berkempen sejak berusia 8 tahun selepas satu percutian keluarga di selatan Thailand apabila dia melihat kawasan pantai dipenuhi sampah sarap.

"Saya dan ibu bapa melakukan aktiviti pembersihan, namun ia tidak banyak membantu kerana sampah sarap lain terus dibawa laut keesokan harinya," kata Lilly.

Mendapat inspirasi daripada aktivis muda terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, Lilly turut duduk di hadapan bangunan kerajaan Thailand bagi menyampaikan mesejnya.

"Greta Thunberg memberi saya keyakinan. Apabila orang dewasa tidak berbuat apa-apa, kanak-kanak harus bertindak," katanya.

Meskipun sering ponteng demi memainkan peranan sebagai aktivis, Lilly tidak akan bersama Thunberg di New York bagi menyertai protes 20 September ini, beberapa hari sebelum persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tempat saya di sini dan perjuangan ini juga di Asia Tenggara," kata aktivis muda berkenaan.

Selain sering menyertai aktiviti pembersihan anjuran persatuan tempatan dikenali sebagai Trash Hero, Lilly juga mendapat sokongan ibu bapa yang membantunya menulis ucapan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai kerajaan.

"Pada mulanya saya menganggap ia sekadar minat sementara seorang kanak-kanak, namun Lilly terus bersemangat dan saya mengambil keputusan untuk menyokongnya," kata ibu Lilly bernama Sasie yang juga seorang bekas aktivis alam sekitar. - AFP