PM lancar Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu

Dr Mahathir (tengah) melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Perdana Putra hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr Mahathir (tengah) melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Perdana Putra hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu dan menyifatkan ia akan menjadi panduan kepada negara dalam mengendalikan dasar luarnya dalam persekitaran dunia yang cepat berubah dan mencabar.

Beliau berkata, unsur-unsur asas dasar luar kekal tidak berubah dan perbezaannya kini adalah dalam pendekatan Malaysia kepada isu-isu tertentu yang menjejaskan kepentingannya berdasarkan tiga pendekatan yang digariskan dalam kerangka itu.

"Justeru, tema menyeluruh bagi Kerangka ini ialah ‘Perubahan Dalam Kesinambungan’. Ini akan menjadi hala tuju kepada pelaksanaan dasar luar kita.

"Kita hidup di dunia di mana perubahan berlaku dengan pantas. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja memberikan cabaran-cabaran tetapi juga peluang-peluang. Justeru, adalah munasabah Malaysia tidak kekal dengan kaedah-kaedah libat urus tradisional dan sebaliknya secara proaktif meneroka pendekatan-pendekatan baharu,” katanya ketika melancarkan kerangka itu di sini hari ini.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar; Menteri Industri Utama Teresa Kok; Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya; Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sambil menyifatkan kerangka tersebut sebagai sebuah dokumen hidup, Perdana Menteri berkata, beliau yakin dokumen setebal 80 muka surat itu akan menjadi sumber yang amat bernilai bukan sahaja kepada para diplomat Malaysia tetapi juga kepada semua pihak yang berminat kepada dasar luar Malaysia.

"Kerangka ini, pada fikiran saya telah merangkumi intipati arah tuju dasar luar pentadbiran sekarang.

"Apa yang lebih penting, ia juga mencakupi isu-isu penting yang telah saya bangkitkan dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-73 tahun lepas,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik, bebas dan berprinsip, berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

Beliau berkata, Malaysia juga percaya kepada pengekalan hubungan bersahabat dengan semua negara dan penyelesaian aman kepada pertikaian, berdasarkan undang-undang dan kelaziman antarabangsa. - Bernama