Pahang, Shell jalin kerjasama demi pelihara, pulihara alam sekitar

Sallehuddin (dua, kiri) bersalaman dan menyerahkan dokumen MoU dengan Iain sambil disaksikan Wan Rosdy (tiga,kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan 'Carbon Trading' Antara Kerajaan Pahang dan Shell Malaysia di Hotel Grand Makmur, di sini, hari ini.
Sallehuddin (dua, kiri) bersalaman dan menyerahkan dokumen MoU dengan Iain sambil disaksikan Wan Rosdy (tiga,kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan 'Carbon Trading' Antara Kerajaan Pahang dan Shell Malaysia di Hotel Grand Makmur, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengambil tempoh antara sembilan bulan hingga setahun bagi melengkapkan kajian berkaitan pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian tersebut juga bakal mewujudkan jawatankuasa bersama Shell Malaysia Bhd (Shell) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya,kajian berkenaan membuktikan kerajaan negeri serius dalam memulihara hutan di negeri itu.

"Shell bersetuju menjalankan kerjasama kerana Pahang memiliki kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung iaitu kira-kira 3.6 juta hektar. Daripada jumlah itu, sebanyak 57.2 peratus adalah hutan belum diteroka dan dan kawasan tadahan air.

"Kajian ini kita ambil masa yang agak panjang dan kita akan menumpukan usaha mengenalpasti kaedah paling berkesan untuk tujuan itu.

"Sudah pasti kerjasama dengan Shell ini bukan sahaja dapat menjamin kelestarian alam sekitar tetapi pada masa sama dapat membantu mereka (Shell) mencari jalan mengurangkan kadar pelepasan karbon di Pahang secara khususnya dan di Malaysia secara amnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan 'Carbon Trading' Antara Kerajaan Pahang dan Shell Malaysia, di Hotel Grand Makmur, di sini, hari ini.

MoU disaksikan oleh Wan Rosdy dan Kerajaan Negeri Pahang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak manakala Shell Malaysia pula diwakili Pengerusinya, Datuk Iain Lo.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, kerjasama itu juga bakal membantu kerajaan negeri dan Shell mengeksplorasi pemuliharaan alam semula jadi dengan lebih sistematik.

Sementara itu, Lo berharap kerjasama berkenaan dapat membantu syarikat berkenaan memainkan peranan lebih besar memastikan sasaran mengurangkan kadar pelepasan karbon dapat dicapai.

"Ini adalah kerjasama kedua selepas Kerajaan Negeri Sarawak bagi memastikan rakyat mendapat manfaat.

"Sebagai sebuah syarikat yang komited dalam penjagaan alam sekitar, sudah pasti Shell Malaysia akan memastikan usaha ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.