IPU Sri Aman capai tahap bahaya kerana hampir dengan Kalimantan: JAS

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 367 iaitu tahap bahaya hari ini berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan Kalimantan, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

JAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 367 pada jam 10 pagi hari ni.

"Empat stesen yang mencatatkan IPU pada tahap sangat tidak sihat hari ini disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan juga beberapa kejadian kebakaran kecil di kawasan belukar dan kebun persendirian yang dilaporkan di Johan Setia, Klang, Selangor.

"Empat stesen yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat ialah Johan Setia (235), Kuching, Sarawak (220) serta Nilai (205) dan Port Dickson (213) di Negeri Sembilan.

"Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak dan sekitar Tawau dan Sandakan, Sabah,” kata JAS.

Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat 243 titik panas dikesan di Sumatera, 452 titik panas di Kalimantan, dan 21 titik panas di Malaysia iaitu Johor (tiga), Sabah (satu) dan Sarawak (17).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam menunjukkan rantau selatan ASEAN secara amnya dalam keadaan kering, di mana titik panas di Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, Indonesia terus mengeluarkan asap jerebu sederhana sehingga tebal dan memberi kesan kepada pantai barat, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Sri Aman Sarawak catat IPU 367

Artikel Berkaitan:

Menurut JAS, di Kalimantan pula asap jerebu sederhana sehingga tebal juga didapati berterusan daripada titik panas di bahagian Kalimantan selatan, timur, barat dan tengah.

"Sebahagian daripada asap jerebu ini telah ditiup oleh angin mengarah ke utara dan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut kepada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat,” kata JAS.

JAS berkata, operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan semalam di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi mengurangkan keadaan berjerebu di kawasan yang terlibat.

Katanya, masalah jerebu yang melanda negara memaksa 500 sekolah di Sarawak dan 170 sekolah di Selangor dan Putrajaya ditutup hari ini.

JAS melaporkan pada 10 pagi hari ini, tiga stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 32 stesen tahap sederhana dan 28 stesen merekodkan IPU pada tahap tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.- Bernama