Tanpa Firmino siapalah Mohamed Salah, Sadio Mane

Gerakan Firmino membolehkan penggempur Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane lebih mudah merobek gawang lawan.
Gerakan Firmino membolehkan penggempur Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane lebih mudah merobek gawang lawan.
A
A
A

KETAJAMAN penyudah Liverpool, Mohamed Salah atau Sadio Mane tidak dinafikan penyumbang kepada jentera pencetak gol penyandang juara Liga Juara-Juara berkenaan.

Pada musim lalu, Mohamed Salah dan Sadio Mane masing-masing mencetak 22 gol yang menjadikan mereka berdua antara penggempur paling digeruni pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Musim ini mereka terus tajam apabila sudah mencetak empat gol dengan aksi terakhir ketika membantu The Reds menjinakkan Newcastle United 3-1 seterusnya memimpin takhta liga.

Namun ketajaman Mohamed Salah dan Sadio Mane di bahagian depan kelab kendalian Jürgen Klopp sebenarnya dipacu oleh Roberto Firmino.

Ini dibuktikan ketika The Reds melayan kunjungan The Magpies kendalian Steve Bruce di gelanggang keramat Liverpool, Anfield ketika kedudukan 1-1, kehadiran Firmino kembali memacu menggerakkan bantuan gol untuk Mohamed Salah dan Sadio Mane seterusnya memenangi perlawanan.

Menurut bekas penyerang The Reds, Emile Heskey, ketajaman penyudah Mohamed Salah dan Sadio Mane kurang memberi impak positif tanpa kelibat Firmino.

"Firmino sebenarnya adalah elemen penting kepada Liverpool dalam mencipta gerakan yang boleh memastikan Mohamed Salah dan Sadio Mane menjaringkan gol.

"Kehadiran Firmino akan memudahkan kedua-dua penggempur berbisa ini lebih mudah menjaringkan gol berdasarkan beberapa perlawanan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Memang diakui tanpa Firmino, kedua tonggak berkenaan masih mampu menjaringkan gol dan mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan tetapi tidak semudah memperolehi gol.

"Firmino sebenarnya membuatkan misi melakar kemenangan Liverpool menjadi lebih mudah. Firmino yang mencipta peluang kemudiannya menjadikan corak permainan lebih mudah kepada barisan depan Liverpool," katanya.