NGO desak kerajaan segera tangani isu arak murah

David (kiri) bertemu dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam bagi mengutarakan beberapa isu mengenai penjualan arak murah.
David (kiri) bertemu dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam bagi mengutarakan beberapa isu mengenai penjualan arak murah.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia akan mengadakan satu perhimpunan di pekarangan Parlimen pada sidang akan datang sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu penjualan arak murah di pasaran.

Ketuanya, David Marshel berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat beberapa tuntutan kepada kerajaan dalam menangani isu tersebut termasuk penguatkuasaan Akta Makanan 1983 (Pindaan 2016) untuk mengawal penjualan arak murah di Malaysia.

Menurutnya, Peraturan-peraturan Makanan 1983, telah dipinda dan diwartakan pada 2016 (386A) selain dimaklumkan bahawa akan dikuatkuasakan 1 Disember 2017, namun penguatkuasaan telah ditangguh atas desakan pihak Persatuan Pengilang dan Pembotolan Arak Malaysia.

"Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pemerintahan kerajaan BN tidak menyatakan tarikh baharu penguatkuasaan terhadap peraturan 386A. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, kami sangat berharap menteri baharu akan kuatkuasakan peraturan 386A tetapi sehingga kini ia belum dapat dilaksanakan lagi," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

David berkata, KKM telah menangguhkan sebanyak dua kali tarikh penguatkuasaan peraturan baharu dan apa yang lebih menyedihkan apabila pihaknya diberitahu KKM telah membatalkan peraturan tersebut setelah desakan Persatuan Pengilang dan Pembotolan Arak Malaysia.

Katanya, hampir setiap hari ada kematian akibat kerosakan hati yang dilaporkan di hospital kerajaan dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan kumpulan B40.

"Kami berharap agar kerajaan mewujudkan satu pusat rehabilitasi alkohol di lapan negeri di negara ini yang lengkap kemudahan seperti pusat serenti untuk memulih penagih arak agar dapat mengurangkan gejala sosial dan kesihatan selain mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan sihat.

"Kami juga memohon agar kerajaan lakukan satu kajian spesifik terhadap masalah komplikasi kesihatan dan sosial oleh pengguna atau peminum arak khasnya arak murah," katanya.

Artikel Berkaitan: