Dua atlet layar impi emas di Sukan SEA

Muhammad Fauzi (kiri) dan Umar Al Farouk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Perahu Layar 9th KFC Pahang Open Regatta 2019 di Pantai Beserah yang melabuhkan tirai semalam.
Muhammad Fauzi (kiri) dan Umar Al Farouk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Perahu Layar 9th KFC Pahang Open Regatta 2019 di Pantai Beserah yang melabuhkan tirai semalam.
A
A
A

DUA atlet kebangsaan dalam sukan perahu layar, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 17, dan Umar Al Farouk Mohd Zahawi, 18, mempunyai impian besar untuk meraih pingat emas buat negara di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Muhammad Fauzi, anak jati Langkawi muncul tempat ketiga pada Kejohanan Perahu Layar 9th KFC Pahang Open Regatta 2019 yang melabuh tirai di Pantai Beserah di sini semalam.

Menurutnya, kejohanan disertai menerusi acara International 420 itu adalah demi mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA pada 31 November hingga 11 Disember ini.

"Pertandingan ini banyak memberi saya pengalaman baharu dan saya juga banyak belajar dengan senior yang telah lama menyertai sukan perahu layar.

"Ini sebagai persediaan saya nak genggam pingat di Sukan SEA nanti. Lagipun saya baru sahaja bersama dengan pasukan Malaysia dan ini kali pertama saya akan mewakili negara untuk kejohanan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kejohanan Perahu Layar 9th KFC Pahang Open Regatta 2019 di Pantai Berserah di sini semalam.

Perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ketua Penerangan Umno Bahagian Indera Mahkota, Mamarul Ariffin. Sebanyak 18 pasukan menyertai kejohanan itu dengan tujuh jenis acara dipertandingkan.

Sementara itu, Umar Al Farouk yang merupakan pasangan beregu Muhammad Fauzi yakin dengan semangat keazaman dan latihan mampu mendapat pingat emas buat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dalam pertandingan hari ini (semalam) saya dan Muhammad Fauzi mempunyai masalah bot kami namun akhirnya kami berjaya capai tempat ketiga.

"Kini kami memfokuskan menjalani latihan pada setiap Selasa sehingga Ahad, di samping kami akan memperbaiki segala kesilapan teknik yang kami lakukan bagi kami mencapai tahap terbaik di Sukan SEA nanti," katanya.

Kedua-dua atlet itu menjalani latihan di Pusat Latihan Perayu Layar Kebangsaan di Pulau Langkawi.