Lelaki didakwa cuba culik budak ditahan

Kejadian berkenaan tular di laman Facebook sejak beberapa hari lalu.
Kejadian berkenaan tular di laman Facebook sejak beberapa hari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kejadian cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu tular di Facebook yang memaklumkan tindakan nekad lelaki itu terhenti selepas penjaga kanak-kanak itu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, penahanan suspek berusia 35 tahun itu dibuat menerusi satu serbuan di kediamannya di Taman Seri Tebrau, di sini, tiga hari lalu.

“Sepasukan polis menyerbu rumah suspek selepas polis menerima laporan daripada penjaga kanak-kanak berkenaan.

“Suspek direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Suspek memberitahu dia mengalami masalah dengan isterinya yang juga warga Vietnam. Isterinya mahu membawa dua anak mereka pulang ke negara asalnya kerana berhutang dengan ah Long,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga memberitahu dia tidak dapat mengawal perasaan kerana mahu menjaga kanak-kanak itu seperti anaknya sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Lelaki itu juga mahu membawa balik mangsa ke rumah untuk dijadikan sebagai anaknya,” katanya.

Bagaimanapun, Shahurinain berkata, suspek tidak membuat pengakuan dia terlibat dengan kegiatan atau sindiket melarikan kanak-kanak sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik.