Dulu zaman BN dua kerja, sekarang 10 kerja

Gambar yang dikongsikan Ahmad di laman sosial Facebook, miliknya.
Gambar yang dikongsikan Ahmad di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan hari ini menyindir kerajaan PH, yang disifatkannya sebagai gagal menjaga kebajikan rakyat sepertimana kerajaan BN dahulu.

Menerusi laman sosial Facebooknya, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, idea dua kerja (#2kerja) yang disarankan beliau pada tahun 2015 nyata sudah tidak relevan pada masa ini.

Sebaliknya, kata beliau, pada zaman kerajaan PH, rakyat terpaksa melakukan lebih daripada dua kerja untuk kelangsungan hidup.

"Berat mata memandang berat lagi bahu saya memikul. Ini adalah salah satu pekerjaan 'part time' saya ketika waktu lapang iaitu mengutip buah kelapa.

"Di zaman BN kita perlu membuat dua hingga tiga kerja dalam satu hari manakala di zaman kerajaan PH, kita perlu membuat 10 pekerjaan dalam satu hari kerana harga barang dan kos sara hidup sangat tinggi berbanding zaman PH. Kerajaan PH gagal," tulisnya.

Berkongsi kenyataan itu dalam sekeping gambar sedang mengutip buah nanas, Ahmad seolah-olah menambah rencah menyindir kerajaan PH dengan membuat u-turn di bahagian komen membetulkan kapsyen gambar tersebut.

"Maaf . Saya u-turn balik. Bukan kelapa tapi nanas," tulisnya.

Ahmad pada 2015 pernah mencadangkan agar rakyat Malaysia melakukan lebih daripada satu kerja bagi menampung kos sara hidup tinggi ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan dalam kerajaan dan partinya Umno.

“Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja.

“Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” katanya yang mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin politik malah netizen ketika itu.