16 September bermakna untuk rakyat Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Tanggal 16 September merupakan hari yang amat bermakna untuk rakyat Sarawak kerana hari itulah Sarawak telah bersama-sama Malaya, Sabah dan Singapura membentuk sebuah negara bernama Malaysia pada 1963, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, bersama Malaysia, banyak kejayaan dan kemajuan telah dikecapi khususnya dari sudut pembangunan.

“Walaupun tidak begitu menyeluruh disebabkan oleh beberapa kekangan termasuklah masalah keselamatan pada awal pembentukan, di mana kita menghadapi konfrontasi dari Indonesia dan ancaman komunis hinggalah kita berjaya menubuhkan kerajaan yang stabil pada 70-an.

“Hingga sekarang, kita telah dapat mengadakan beberapa hala tuju pembangunan yang berkisar kepada pembangunan luar bandar lebih-lebih lagi dari sudut pendidikan dan Sarawak telah membangun menerusi Yayasan Sarawak serta institusi pengajian yang telah diwujudkan,” katanya kepada pemberita.

Abang Johari juga memanjatkan rasa kesyukuran kerana menurutnya, dalam masa 56 tahun, walaupun menghadapi pelbagai rintangan, Sarawak telah berjaya membangun sepertimana yang dapat lihat pada hari ini.

“Perancangan untuk membangunkan lagi Sarawak sentiasa ada namun ia lebih mencabar kerana wujudnya teknologi yang bergerak seiringan dengan peredaran zaman.

“Maka kita hendaklah menyesuaikan pembangunan Sarawak melalui era baharu, kerajaan Sarawak walaupun tidak bersama satu platform dengan kerajaan Pusat tetapi tetap bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau yakin dengan adanya hala tuju yang betul, perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini mampu menjadikan Malaysia lebih maju.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya masa depan Malaysia sangat cerah dan kalau Sarawak mampu menjadi sebuah negeri aman dan makmur, maka Malaysia juga akan menjadi aman dan makmur,” katanya.

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia. Marilah kita merapatkan perpaduan kita dan mempunyai hala tuju yang sama, demi masa depan yang gemilang untuk generasi yang akan datang,” katanya. - Bernama