Tiga beradik ditelan ombak besar

Tiga beradik, Nurain Fatma, Nurain Sufia dan Nurain Sasabila hilang dipercayai lemas di Pantai Sura kira-kira 6.45 petang.
Tiga beradik, Nurain Fatma, Nurain Sufia dan Nurain Sasabila hilang dipercayai lemas di Pantai Sura kira-kira 6.45 petang.
A
A
A

DUNGUN - Tiga beradik hilang dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan ombak besar ketika bermain di Pantai Sura di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, mangsa, Nurain Fatma Zawawi, 10, Nurain Sufia Zawawi, 8 dan Nurain Sasabila Zawawi, 5, dikatakan bersiar-siar di pantai sebelum ombak besar tiba-tiba datang menerpa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pasukan penyelamat termasuk anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi untuk operasi mencari serta menyelamat.

“Tiga kanak-kanak yang juga adik-beradik dari Rantau Panjang, Kelantan dilaporkan hanyut di laut ketika bermain di tepi pantai. Ombak besar tiba-tiba datang menarik ketiga-tiga mangsa sebelum menenggelamkan mereka.

Usaha mencari dan menyelamat dilakukan di sepanjang pesisir Pantai Sura.
Usaha mencari dan menyelamat dilakukan di sepanjang pesisir Pantai Sura.

“Usaha orang awam dan saudara mara membantu mangsa tidak berhasil kerana ombak terlalu kuat,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dimulakan serta-merta tetapi suasana gelap serta cuaca tidak menentu menyukarkan usaha berkenaan.

“Setakat ini, pasukan penyelamat melakukan pemantauan di sepanjang pesisir pantai. 31 anggota terlibat dalam operasi pada malam ini dan pencarian di pesisir pantai meliputi jarak kira-kira 3km hingga ke Teluk Gadung.

Artikel Berkaitan:

“Gerakan mencari dan menyelamat akan diteruskan dengan lebih menyeluruh bermula awal pagi esok,” katanya.