X

Kindly register in order to view this article
!

Bendahari Pas NS meninggal semasa sertai Himpunan Penyatuan Ummah

Gambar Allahyarham Mustafa yang sempat dirakam teman sebiliknya sebelum bergerak ke PWTC semalam. Foto: Ihsan Pas Negeri Sembilan
A
A

SEREMBAN - Peserta Himpunan Penyatuan Ummah yang juga Bendahari Pas Negeri Sembilan, Mustafa Dolah, 67, meninggal dunia selepas menghadiri perhimpunan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Allahyarham dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dan angin ahmar.

Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata, Allahyarham Mustafa merupakan pejuang agama yang sejati dan seorang yang sangat komited.

"Pas Negeri Sembilan mengucapkan takziah kepada keluarga dan kita sangat sedih atas pemergian permata ini. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan dikurniakan pahala berterusan atas ilmu yang dicurahkan buat anak bangsa, pelapis pejuang agama," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Allahyarham Mustafa pernah menjadi calon Pas Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan dilantik Bendahari Pas Negeri sejak 2017.

Beliau yang berjiwa murabbi telah berkhidmat dalam bidang perguruan sejak 1979 sebagai guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban (1979-1982), seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban (1983-1987), Institut Perguruan Darulaman, Jitra, Kedah (1990-1996) dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban (1996-1998),

Selepas itu, beliau kembali sebagai Guru Penolong Kanan (HEP) di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan (1998-2001) dan pengetua di dua sekolah iaitu SMK Taman Semarak, Nilai (2001-2003) dan SMK Agama (SMKA) Pedas, Rembau (2003-2008).

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Taman Paroi Jaya sekitar jam 12 tengah hari tadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!