Pembenihan awan diperluas jika jerebu makin buruk

Isnaraissah Munirah meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikemaskini setiap jam.
Isnaraissah Munirah meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikemaskini setiap jam.
A
A
A

PARIT - Operasi pembenihan awan (OPA) mungkin akan diperluas ke negeri-negeri lain termasuk Utara Semenanjung sekiranya keadaan jerebu semakin buruk.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan memandangkan ada negeri yang mempunyai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak menentu.

"Pembenihan awan sebelum ini kita lakukan di Sarawak, kemudian Selangor dan mungkin kita akan lakukan sama di (negeri) sebelah Utara.

"Bagaimanapun berdasarkan bacaan indeks sekarang kita akan fokus di Selangor dahulu kerana IPUnya lebih kurang sihat berbanding tempat-tempat lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Go Nature 2.0 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar hari ini.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang, semua pihak perlu bekerjasama dengan tidak memburukkan lagi keadaan sama ada menerusi tular berita tidak benar atau spekulasi menuding jari kepada Indonesia.

Katanya, baik Malaysia mahupun Indonesia secara diplomasi telahpun melakukan yang terbaik dalam menangani isu itu.

"Isunya bukan Malaysia ke Indonesia yang menjadi sumbernya, paling penting kebakaran itu perlu dipadam secepat mungkin.

"Ini termasuklah pembakaran sampah di belakang rumah, itu juga kita larang sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas gerakan #blowbackthehaze yang terhasil menerusi ciapan di satu akaun Twitter sejak 11 September lalu, Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan tular sedemikian.

"Adalah lebih baik kita mendapatkan maklumat menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikemaskini setiap jam, di ruangan itu kita boleh tahu titik panas, arah tiupan angin dan bacaan IPU dengan tepat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Dua kawasan di Sarawak, Johor catat IPU sangat tidak sihat

Isnaraissah Munirah menanam benih pokok sebagai simbolik Kempen Go Nature 2.0 di Universiti Teknologi Petronas Seri Iskandar hari ini.
Isnaraissah Munirah menanam benih pokok sebagai simbolik Kempen Go Nature 2.0 di Universiti Teknologi Petronas Seri Iskandar hari ini.