Pengecualian CKHT, perkhidmatan mulai 1 Januari 2019

Lim Guan Eng
A
A

KUALA LUMPUR - Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) diberikan bagi individu warga negara Malaysia yang melupuskan hartanah pada harga balasan RM200,000 dan ke bawah.

Mengikut kenyataaan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pengecualian CKHT ini yang berkuat kuasa mulai 1Januari 2019, diberi bagi individu yang melupuskan hartanah termasuk rumah kediaman kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik dalam tahun keenam dan seterusnya.

Bagi perolehan aset sebelum tahun 2000, harga pasaran pada 1 Januari 2000 akan digunakan sebagai harga perolehan bagi pelupusan harta tanah oleh warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.

Layanan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019.

Dalam keadaan kontrak bersyarat seperti perenggan 16 Jadual 2 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, pengecualian CKHT diberikan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah yang dibuat dalam tahun ke-6 dan seterusnya oleh warganegara Malaysia dan pemastautin tetap di mana Perjanjian Jual Beli telah ditandatangani sebelum 1 Januari 2019.

Kelulusan daripada kerajaan atau kerajaan negeri juga akan diperoleh pada 2019 dan seterusnya.

“Dalam Belanjawan 2019, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar CKHT ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah yang dibuat dalam tahun keenam dan tahun seterusnya mulai 1 Januari 2019,” menurut Guan Eng.

Bagaimanapun, Guan Eng menyatakan, kerajaan amat prihatin dengan kebajikan rakyat dan hendak memastikan rakyat tidak terbeban dengan CKHT yang dikenakan.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberikan layanan CKHT melalui pengecualian perkhidmatan cukai untuk perkhidmatan profesional.

Kerajaan juga akan mengecualikan pengenaan cukai perkhidmatan untuk orang berdaftar Cukai Perkhidmatan dalam Kumpulan G (Kumpulan Profesional) yang memberikan perkhidmatan yang sama kepada orang berdaftar bermula 1 Januari 2019.

Pengecualian yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 bertujuan mengelak peningkatan kos akibat percukaian berganda dan mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan.

Contoh situasi yang menerima pengecualian cukai perkhidmatan seperti berikut: seorang peguam bela dan peguam cara memberikan perkhidmatan perundangan kepada peguam bela dan peguam cara yang lain akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

Kerajaan juga memberi layanan yang sama kepada perkhidmatan bercukai dalam negeri dan yang diimport.

Sehubungan itu, pengecualian ini juga diberikan kepada perkhidmatan bercukai yang diimport oleh mana-mana syarikat di Malaysia daripada syarikat luar negara yang merupakan syarikat dalam kumpulan yang sama tetapi terhad kepada perkhidmatan tertentu dalam Kumpulan G.

Pengecualian ini akan diberi melalui kuasa Menteri Kewangan. - Bernama